Kesal k'jaan batal MoU dengan al-Azhar
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) kesal dengan pembatalan memorandum persefahaman (MoU) antara institusi pengajian tinggi tempatan dengan Universiti al-Azhar bagi mengadakan program berkembar di negara ini.
"PKPIM kesal atas tindakan (pembatalan) itu, dengan alasan kursus tersebut kurang laku dan kurang mendapat perhatian sektor pekerjaan," kata setiausaha agungnya Abdul Muntaqim Zulkipli.
Beliau berkata, pembatalan itu menggambarkan seolah-olah "program pengajian Islam dipinggirkan dan kurang penting" berbanding program lain.
Abdul Muntaqim mengulas penjelasan kerajaan di Dewan Rakyat minggu lalu sewaktu menjawab soalan tambahan Nasharuddin Mat Isa (PAS-Bachok) mengenai pembatalan MoU antara Kementerian Pengajian Tinggi dengan universiti terkenal itu.
Timbalan menteri berkenaan Datuk Idris Harun berkata, tindakan itu "bukan sengaja" tetapi menyedari "pasaran pekerjaan berkaitan kursus pengajian Islam sangat tipis malah tidak memenuhi tuntutan sektor sedia ada."
"Apabila kita mengkaji kehendak dan kemahuan pasaran khususnya (ke atas) graduan yang sudah keluar mendapati antara kursus yang kurang mendapat perhatian ialah mengenai Pengajian Islam selain kursus teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).
"Jadi, kementerian perlu mengawal perkara ini, justeru menghadkan kursus kerjasama yang dipohon beberapa institut pengajian tinggi," katanya pada sesi soal jawab lisan Rabu lepas.
Abdul Muntaqim berkata, program pengajian Islam seharusnya diletakkan sebagai program yang paling penting dalam dunia pendidikan.
"Program pengajian Islam sangat penting untuk melahirkan individu-individu yang mempunyai pengetahuan agama Islam yang benar dan kukuh dan menjadi paksi dalam masyarakat bagi mencorak akhlak, sifat dan budaya," tambahnya.

