Dr M masih mencengkam Kedah
Ramai ahli Umno di Jerlun mahu keluar daripada parti itu sebagai menyokong tindakan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meninggalkan parti itu 18 Mei lalu, kata seorang ketua Umno cawangan di bahagian tersebut.
Bagaimanapun, ketua cawangan Kampung Masjid Kuala Sanglang, Rosli Abdul Ghani berkata, pemimpin di peringkat cawangan mengambil keputusan menasihatkan ahli-ahli supaya tidak berbuat demikian.
Beliau mendedahkan perkara itu sewaktu ditemui semasa menyambut kepulangan Dr Mahathir di lapangan terbang Subang, petang semalam.
"Pengaruh Tun sangat besar di Kedah termasuk di Jerlun. Apabila beliau keluar, orang ramai semua hendak ikut.
"Tetapi saya dan ketua-ketua cawangan Umno yang lain meminta mereka tidak berbuat demikian kerana kita semua sayangkan parti," katanya.
"Bagaimanapun, jika keadaan Umno sekarang berterusan, tentu sukar untuk kami menghalang mereka daripada meninggalkan Umno," katanya.
Rosli berkata, beliau yang menguruskan kehadiran seramai 125 ketua, setiausaha dan ahli Umno di Jerlun untuk menyambut kepulangan Dr Mahathir semalam.
Sayangkan parti
Katanya, beliau dan ketua-ketua cawangan yang lain menyokong sebarang usaha untuk memulihkan Umno agar kembali memerintah negara.
"Tiada ahli Umno yang tidak sayang parti tetapi apa yang berlaku dalam Umno sekarang menyebabkan mereka malu," katanya lagi.
Menurut Rosli, ahli-ahli Umno di Jerlun akan mengadakan perjumpaan besar-besaran dengan ahli parlimen kawasan itu Datuk Mukhriz Mahathir sebagai tanda sokongan kepada beliau.
Sementara itu, ahli Umno Kampung Kuala Sanglang, Husin Yusof berkata orang Melayu di Kedah masih sayangkan Dr Mahathir walaupun beliau telah meninggalkan Umno.
Katanya, di mana-mana sahaja di pekan Jerlun, ahli-ahli Umno masih bercakap mengenai tindakan Dr Mahathir keluar daripada parti.
Menurutnya, adalah silap bagi sesiapa untuk merendah-rendahkan pengaruh bekas presiden Umno itu di Kedah.
"Masih ramai lagi penyokong setia Dr Mahathir dan kerana itu kami marah jika ada pihak yang membuat Tun seperti sekarang ini," katanya lagi.

