Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Idris, Rosol letak jawatan
Diterbitkan:  May 28, 2008 7:06 PM
Dikemaskini: 3:01 PM

Datuk Seri Idris Jusoh telah melepaskan jawatannya sebagai pengerusi perhubungan Umno Terengganu, kira-kira dua bulan selepas hilang jawatan menteri besar Mac lalu.

Setiausaha perhubungan Umno negeri Datuk Rosol Wahid juga berhasrat melepaskan jawatannya susulan keputusan terbaru Idris, lapor Bernama .

Wakil rakyat Jertih itu berkata, peletakannya telah dimaklumkan kepada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga presiden Umno, di ibu negara hari ini.

"Saya telah memberitahu perdana menteri bahawa saya setuju meletak jawatan sebagai pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dan beliau (perdana menteri) terima.

"Saya akan hantar surat peletakan jawatan itu esok," katanya kepada agensi berita itu.

Idris bagaimanapun tidak menyatakan sebab-sebab beliau bersetuju untuk melepaskan jawatan itu, lapor agensi berita itu lagi.

Dalam tradisi parti, jawatan itu akan dipegang menteri besar, yang juga akan dilantik pengerusi BN negeri.

Di Perak beberapa hari lalu, Idris berkata beliau tidak akan meletak jawatan tersebut walaupun tindakan itu boleh menimbulkan kebuntuan politik di Terengganu.

Idris dilaporkan berkata beliau menerima hakikat bahawa Datuk Ahmad Said sebagai menteri besar mempunyai penyokongnya sendiri tetapi beliau juga mendapat sokongan besar ahli kerana berjaya memimpin Umno negeri memenangi pilihanraya umum 2004 dan 2008.

ADS