Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
CAP: Tamatkan khidmat Fomema
Diterbitkan:  May 28, 2008 10:22 PM
Dikemaskini: 5:25 PM

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa khidmat badan pemantauan pemeriksaan perubatan pekerja asing (Fomema) dihentikan susulan timbul banyak masalah, termasuk amalan perubatan yang meragukan.

"CAP menyeru Kementerian Kesihatan agar menghentikan khidmat Fomema dan meletakkan pegawai perubatan yang memeriksa kesihatan pekerja asing bawah seliaan langsung kementerian," kata presidennya SM Mohamed Idris.

Persatuan pengguna itu melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan kementerian itu yang didakwanya "mahu menutup kekurangan" agensi tersebut.

Pada 2005, Fomema menggantung lebih 100 buah klinik panelnya susulan amalan perubatan yang buruk dan meragukan.

"Bagaimanapun, klinik-klinik terbabit tidak dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan disiplin," kata Mohamed lagi.

Tambahnya, keadaan itu memaksa menteri kesihatan waktu itu Datuk Seri Chua Soi Lek menasihatkan Fomema melaporkan kes klinik-klinik tersebut kepada Majlis Perubatan Malaysia.

Kesalahan pusat-pusat pemeriksaan tersebut termasuklah tidak menjalankan ujian sinar X seperti sewajarnya, termasuk menggunakan sekeping ujian tersebut untuk beberapa pekerja asing, kata CAP lagi.

"Doktor dan makmal perubatan yang ditugaskan menjalankan pemeriksaan kesihatan mestilah boleh dipercayai. Penemuan yang tidak tepat boleh mudarat yang berat kepada pekerja dan negara seluruhnya," kata Mohamed.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS