BERITA

Kini Mokhzani pula jadi sasaran...

Diterbitkan
Dikemaskini 31 Mei 2008, 2:34 pagi

Selepas mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar Umno, manakala anaknya yang juga ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz dikecam oleh pimpinan parti itu kerana mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan dan kini seorang lagi anaknya, Datuk Mokhzani, diminta melepaskan jawatan sebagai pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob Ismail berkata, ekoran tindakan Mokhzani menurut jejak langkah bapanya keluar dari Umno, maka beliau mesti melepaskan jawatan pengerusi SIC kerana ia milik anak syarikat Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) yang dikuasai kerajaan melalui Khazanah Holdings.

"Jawatannya itu adalah hak kerajaan. Bila dia (Mokhzani) keluar Umno, secara prinsipnya, beliau kena lepaskan jawatan dalam kerajaan," kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob Ismail Sabri.

mokhzani mahathir Menurut laporan Bernama, Mokhzani dilantik menjadi Pengerusi SIC pada 2003 menggantikan Tan Sri Basir Ismail, yang merupakan Pengerusi SIC yang pertama.

Dalam reaksi balas, Mokhzani, 47, yang juga bekas bendahari Pemuda Umno berkata beliau tidak akan berbuat demikian kerana tiada arahan daripada MAHB atau Kementerian Kewangan.

Mokhzani berkata Ismail Sabri sepatutnya merujuk perkara tersebut (peletakan jawatan) kepada MAHB atau Kementerian Kewangan.

"Sehingga kini, selepas (saya) keluar Umno pada awal Mei, tiada arahan bagi saya melepaskan jawatan sekarang. Oleh itu, saya tetap menjalankan tugas sebagai pengerusi SIC," katanya.

Beliau berkata jika Perdana Menteri sendiri mahu beliau berhenti, Abdullah mempunyai hak berbuat demikian melalui `surat peletakan jawatan tanpa tarikh' yang diserahkannya pada 2006.

"Menjadi amalan saya, bila saya dilantik ke jawatan sukarela sebagai Pengerusi SIC ... tanpa gaji, pada masa yang sama, saya menyerahkan surat peletakan jawatan tetapi tanpa tarikh. Apa yang perlu dilakukan ialah mengisi tarikhnya sahaja," katanya.

Pada 21 Mei lalu, Mokhzani mengikut jejak bapanya, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang keluar dari Umno kerana tidak lagi yakin terhadap kepimpinan Presiden Umno dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ismail juga tidak menghadiri majlis pelancaran Super GT Antarabangsa Malaysia anjuran SIC semalam yang diadakan di kementerian itu kerana kebetulan mempengerusikan mesyuarat pasca-kabinet kementeriannya di bangunan sama.

Ketika ditanya pemberita mengapa beliau tidak menghadiri majlis pelancaran itu, Ismail Sabri berkata: "Secara prinsipnya, bila Mokhzani keluar dari Umno kerana tidak yakin dengan kepimpinan perdana menteri, itu bermakna beliau juga tidak yakin dengan saya sebagai menteri yang dilantik oleh perdana menteri".

"Jadi mengapa saya perlu menghadiri majlis tersebut. Bukannya saya tidak suka sukan permotoran tetapi sebagai menteri kerajaaan, tidak kenalah ... (bila Mokhzani turut hadir)," kata Ismail Sabri.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.