Negeri tiada kuasa tetap gaji minimum
Kerajaan negeri tidak boleh mengenakan levi kepada pekerja asing atau menetapkan gaji minimum, kata timbalan menteri sumber manusia Datuk Noraini Ahmad di Dewan Negara hari ini.
Kedua-dua perkara itu terletak bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, tambahnya.
"Bagi makluman Dewan Yang Mulia ini, pengenaan levi merupakan suatu bentuk pengenaan cukai.
"Berdasarkan Perkara 96 Perlembagaan Persekutuan, pengenaan cukai hanya boleh dibuat melalui atau di bawah kuasa undang-undang persekutuan.
"Oleh yang demikian, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan levi bagi pekerja asing di negeri masing-masing," katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata kerajaan negeri juga tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan gaji minimum bagi pekerja asing di negeri masing-masing.
"Ini adalah kerana mengikut butiran 15 Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, khususnya butiran 15(a), perkara berhubung dengan buruh termasuk kebajikan buruh merupakan perkara di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan," beliau dilaporkan berkata.
Menjawab soalan tambahan sama ada perkara itu telah dimaklumkan kepada Selangor, Noraini berkata kerajaan negeri sepatutnya tahu sesuatu isu itu terletak bawah bidang kuasa kerajaan negeri atau persekutuan.

