Petisyen p'raya Mohd Sabu ditolak
Mahkamah Pilihanraya hari ini menolak dengan kos petisyen calon PAS, Mohamad Sabu, supaya 1,089 undi pos bagi kerusi parlimen Kuala Terengganu dikeluarkan daripada kiraan keputusan pilihanraya umum lepas.
Dalam keputusannya, hakim Datuk Ramly Ali berkata petisyen yang dibuat oleh calon itu, yang juga naib presiden PAS, untuk mencabar kesahihan satu undang-undang bertulis mengenai penjalanan pilihanraya tersebut tidak termasuk dalam Seksyen 32 (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).
Beliau berkata hujah Mohamad yang menyatakan bahawa Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 yang dibuat mengikut Seksyen 16 Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19) adalah ultra vires dengan Seksyen 13 (2) dan 16 (2) Akta Pilihan Raya 1958 dan ia adalah di luar bidang kuasa mahkamah itu untuk menentukannya.
"Berdasarkan bantahan-bantahan awal yang dikemukakan oleh responden-responden, mahkamah menolak petisyen ini dengan kos," katanya, lapor Bernama .
Hujah-hujah pempetisyen dibuat atas alasan pengundian pos yang dibuat menurut Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 tidak menjamin kerahsiaan undi yang menjadi satu asas dalam pilihanraya adil yang bersih.
Mohamad, yang diwakili peguam Mohamad Arif Yusuf, menamakan pegawai pengurus pilihanraya Datuk Mat Razali Kassim, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan calon BN Datuk Razali Ismail sebagai masing-masing responden pertama, kedua dan ketiga.
Suruhanjaya itu dan Mat Razali diwakili peguam Azizan Md Arshad, manakala BN diwakili Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.
Pada pilihanraya umum 8 Mac, terdapat 1,357 undi pos bagi kawasan parlimen itu dan 1,089 dikira sebagai undi manakala 157 ditolak.
Calon BN menang dengan majoriti 628 undi.
Semalam, Mahkamah Tinggi membuang petisyen calon BN di kerusi negeri Manir, Wan Sagar Wan Embong, terhadap penyokong PAS atas dakwaan salah lalu ketika hari mengundi.
Kerusi itu dimenangi calon PAS Datuk Dr Harun Taib.

