Majlis Tertinggi (MT) Umno akan membincangkan strategi pengukuhan parti serta penjenamaan Barisan Nasional (BN) bagi meningkatkan keyakinan ahli dan rakyat terhadap parti dalam program pemukiman MT Umno yang bermula hari ini.

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pertemuan itu juga akan membolehkan Umno merangka strategi jangka panjang dan pendek bagi menawan "mindset" rakyat serta hati pengundi muda.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata perbincangan tidak terhad kepada isu politik sahaja tetapi juga membabitkan aspek berkaitan dengan kerajaan.

"Apa yang Umno harus lakukan ialah terutamanya dalam skop yang lebih luas dan agar diterima oleh rakyat serta menyakinkan," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Malam SMIDEC 2008 di Kuala Lumpur semalam.

Pemukiman selama dua hari itu akan berlangsung di sebuah hotel di Shah Alam dan disertai oleh kesemua 52 anggota MT Umno.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata penjenamaan BN akan ditekankan agar ia lebih menarik untuk menambat hati rakyat dan pengundi.

BN dan Umno kalah teruk dalam pilihanraya umum pada 8 Mac lalu. Walaupun kembali berkuasa di peringkat pusat, tetap BN gagal mempertahankan penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

BN menang 140 kerusi Parlimen manakala barisan pembangkang yang kini dikenali sebagai Barisan Rakyat, menang 82 kerusi.

Umno sendiri tewas 30 kerusi Parlimen apabila hanya mampu mempertahankan 79 daripada 109 kerusi Parlimen yang dimenangi pada 2004.

Di samping itu, BN kehilangan Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor yang jatuh ke tangan pembangkang. Manakala PAS berjaya mempertahankan Kelantan.

Program pemukiman MT Umno itu dimulakan dengan amanat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Timbalan Presiden Umno, dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor turut menyampaikan taklimat.

Perbincangan berlangsung dalam tiga kumpulan dengan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam mempengerusikan kumpulan pertama, seorang lagi Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai kumpulan kedua dan Ketua Penerangan Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengetuai kumpulan ketiga.

Peserta diminta mengemukakan syor mengenai strategi pemulihan untuk dilaksanakan oleh parti.

Sesi perbincangan dalam kumpulan itu diteruskan sehingga esok sebelum rumusan akhir dibuat oleh Najib.

Abdullah dijangka menutup program itu sebelum solat Jumaat esok.