Gaji minimum: JERIT kecam menteri
Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) mengecam kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam bahawa gaji minima untuk pekerja swasta secara keseluruhannya tidak akan dilaksanakan di Malaysia.
JERIT menyifatkannya sebagai penganiyaan besar terhadap 90 peratus pekerja sektor swasta di Malaysia.
"Sejak tahun 2003 lagi, JERIT telah menyeru pihak kerajaan supaya menggubal Akta Gaji Minima RM900. Pada 21 September 2006, sebanyak 50,000 tuntutuan dan memorandum diserahkan kepada perdana menteri menuntutnya menggubal akta tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, katanya, pada tahun lalu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga telah mengadakan beberapa piket menuntut Akta Gaji Minima RM900 dan bayaran COLA.
"Baru-baru ini juga, MTUC telah memberi memorandum kepada Menteri Sumber Manusia yang baru itu di Parlimen berhubung dengan hal ini," tambahnya.
Menurutnya JERIT, sewaktu pentadbirannya, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan perlu Akta Gaji Minima RM1200 untuk pekerja Malaysia.
"Mana pergi janji ini?" kata JERIT
Ia mendakwa, kerajaan cuba mengaburkan pekerja dengan mengatakan tiada gaji minima, tetapi Majlis Gaji boleh diamalkan untuk semua sektor atas permintaan pekerja atau majikan.
"Sebelum ini, perkara yang sama juga telah dilakukan oleh menteri sebelumnya, Datuk Fong Chan Onn. Beliau telah mengumumkan bahawa Majlis Gaji akan ditubuhkan di beberapa sektor bergaji rendah seperti pengawal keselamatan swasta, pembantu klinik swasta dan pencuci. Namun isu gaji rendah tidak selesai untuk sektor ini mahupun sektor lain.
"Adalah jelas bahawa cadangan menteri untuk menubuhkan majlis gaji itu tidak akan menyelesaikan isu gaji rendah pekerja . Majlis gaji akan disertai oleh wakil pekerja, wakil kerajaan dan wakil majikan juga. Adakah majikan akan setuju untuk memberi gaji yang saksama dan adil untuk pekerja? Tidak sama sekali.
"Mereka akan sentiasa cuba mengurangkan kos dengan mengurangkan gaji pekerja supaya mereka dapat untung tinggi. Maka siapakah yang patut bela nasib pekerja kalau tidak kerajaan.
"Tetapi , nampaknya kerajaan telah cuci tangan dalam membela nasib pekerja dan menendang pula ke Majlis Gaji yang dianggotai oleh majikan," tambahnya.
Menurut JERIT lagi, adalah penting penting bagi menteri sumber manusia untuk memahami mengenai konsep gaji minima.
"Gaji dibayar untuk jumlah tenaga kerja yang telah disumbangkan oleh seseorang pekerja. Oleh itu, sama ada pekerja tempatan mahupun pekerja asing harus dibayar gaji yang sama rata untuk tenaga kerja mereka.
"Apakah salahnya jika seseorang pekerja asing menerima gaji minima RM900 atau RM1,500? Bukankah mereka juga menyumbang kepada pembangunan serta GDP negara?" soalnya.
Pada masa kini, tegas JERIT, harga barangan terutamanya harga barang makanan melambung tinggi. Bukan itu sahaja, harga petrol dan bahan bakar juga akan naik tidak lama lagi.
Dalam keadaan ini adalah penting untuk mengubal Akta Gaji Minima supaya rakyat terutamanya pekerja yang berpendapatan rendah dapat menghadapi kenaikan harga dan menjalankan hidup.
“Kalau negara yang lebih miskin seperti Sri Lanka, Pakisatan, Bangladesh, dan Vietnam boleh ada gaji minima, kenapa bukan Malaysia, yang lebih maju dan membangun daripada mereka,” kata JERIT dalam kenyataan yang dikeluarkan bersama Gabungan Pekerja Kilang & Kesatuan.

