AMK S'gor: Tiada ikut langkah Ezam
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menegaskan bahawa sehingga ke hari ini tiada seorang pun di kalangan pimpinannya - dari peringkat bahagian hingga negeri - yang mengikut langkah Ezam Mohd Nor menyertai Umno.
"AMK Selangor masih utuh menjadi benteng hadapan parti, kerajaan negeri dan rakyat," kata ketua AMK Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainudin.
"Kami yakin bahawa pimpinan dan ahli parti sudah matang. Mereka menyertai parti bukan hanya kerana individu tetapi kerana berpegang kepada prinsip dan matlamat parti.
"Pemimpin datang dan pergi. Patah tumbuh, hilang berganti. Ini bukan pengalaman kali pertama PKR. Parti tetap terus bergerak dan berkembang," katanya dalam satu kenyataan.
"(Datuk Seri) Anwar Ibrahim juga akan pergi suatu hari nanti. Kekuatan PKR bukan semata-mata karisma Anwar atau pemimpin lain.
"Kekuatan utama PKR adalah konsep parti pelbagai kaum yang merentasi lapisan kelas masyarakat yang berjaya ditonjolkan dengan jelas melalui formula Anwar," tambanya.
Rombakan AJK
Menurutnya lagi, apa pun alasan dan hujah Ezam untuk menyertai Umno, itu adalah hak beliau.
"Apakah kewajaran beliau menawarkan diri untuk bertanding untuk melawan Anwar dalam agenda memerangi rasuah? Apakah ini agenda peribadi atau agenda memperkasa umat Melayu atau agenda orang lain?
"Pesanan kami, semoga beliau berjaya memperjuangkan "6 kotak rasuah" yang pernah beliau sebutkan di dalam Umno nanti.
"AMK tidak akan berdiam diri dan bersedia untuk mempertahankan parti seandainya diserang bagi memastikan mandat rakyat melalui pilihanraya umum ke-12 dapat disempurnakan dengan baik," tambahnya.
Khairul turut mengumumkan rombakan kecil dalam struktur jawatankuasa AMK Selangor bagi memperkemaskan lagi gerak kerja AMK Selangor.
Dalam rombakan tersebut, Halimey Abu Bakar dilantik ke jawatan timbalan ketua, Fazly Faizal (setiausaha kerja satu), Abdul Khaliq Izhaq Che Om (setiausaha kerja kedua), Azrin Abdul Aziz (penolong bendahari), Mazli Saring (ketua penerangan), Vasu a/l Yarnian (timbalan ketua penerangan) dan Mohd Azihan Che Seman (pengerusi biro kebajikan).

