Sanusi dakwa didesak letak jawatan
Bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid berkata, beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) walaupun terdapat desakan supaya berbuat demikian setelah beliau meninggalkan Umno.
Beliau berkata, tempoh tamat jawatan yang disandangnya ialah pada tahun 2010. Sanusi dilantik memegang jawatan tersebut pada tahun 2000.
"Nama saya telah dicadangkan kepada Ketua Perlembagaan UIA (Sultan Pahang) oleh Ketua Kerajaan yang menjadi tuan rumah kepada UIA, iaitu kerajaan Malaysia
"Saya tidak akan berhenti dengan sendiri daripada jawatan saya sebagai presiden UIA kerana menganggap tugas saya sebagai ibadat," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.
Sanusi yang juga bekas setiausaha agung Umno, menegaskan, bahawa hubungannya dengan Ketua Perlembagaan UIA itu adalah sangat baik.
"Saya tidak percaya Kebawah DYMM Ketua Perlembagaan akan memecat saya kecuali dengan nasihat 'Host Member' kepada UIA, iaitu Perdana Menteri," katanya dalam kenyataan setebal 13 muka surat yang dibaca dalam sidang akhbar tersebut.
"Walaupun perlembagaan UIA memberi kuasa kepada Ketua Perlembagaan untuk menamatkan khidmat saya, namun apakah saya tidak boleh mengetahui kesilapan saya yang menyebabkan tempoh khidmat saya mahu dipendekkan, dan tidak ditunggu sehingga tamat dua tahun lagi.
"Sepanjang perkhidmatan, saya tidak pernah menyebabkan prestasi UIA merosot," katanya, merujuk kepada kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohamed Khaled Nordin dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh I Jun lalu.
Akhbar itu memetik Khaled sebagai berkata, Sanusi boleh mengekalkan jawatannya di UIA sehingga tamat tempoh kontrak pelantikannya (2010), kecuali jika beliau menggunakan kedudukannya di universiti itu untuk tujuan politik.
Bagaimanapun, Khaled memberitahu akhbar tersebut, jika Sanusi menggunakan kedudukannya untuk tujuan politik, beliau akan menimbang untuk mengambil tindakan terhadapnya.
Bekas setiausaha agung Umno itu juga mendedahkan bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah menjalankan siasatan ke atas anak syarikat UIA, IIUM Holdings Sdn. Bhd. kerana beliau membantu kempen Datuk Mukhriz Mahathir dalam pilihanraya umum lalu.
"Oleh kerana Mukhriz dihantar ke Jerlun maka saya turun berkempen kerana saya juga pemah menjadi calon di Jerlun," katanya.
Sanusi berkata, walaupun pihak BPR nampak puas hati dengan semua penjelasan yang diberi oleh pegawai IIUM Holdings Sdn. Bhd, tetapi pihak yang membuat aduan, masih tidak puas hati dan menghantar melalui emel surat aduan yang berisi fitnah (terhadapnya) kepada ramai kakitangan UIA, termasuk semua dekan.
Katanya, sudah tentu beliau tidak boleh membenarkan IIUM Holdings Sdn Bhd dan dirinya difitnah sehingga kakitangan UIA berasa terhina berkerja di bawah presiden yang (dituduh) rasuah.
"Saya telah adakan pertemuan dengan semua dekan untuk menyatakan bahawa aduan kepada BPR bermotifkan politik, dan atas arahan tangan yang tersembunyi, dan sebab lawatan dibuat (oleh BPR), setelah saya berkempen untuk Mukhriz.
"Jika saya ingin berasuah bukanlah di UIA yang mengemis derma untuk biasiswa pelajar-pelajar negara asing," tambahnya.

