Rundingan kurangkan beban pengguna
Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mengadakan rundingan dengan pengeluar tenaga bebas (IPP) bagi mencari jalan untuk membantu mengurangkan beban pengguna ekoran kenaikan kos gas bagi sektor tenaga.
Ketua pegawai eksekutif TNB Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, kabinet telah meminta TNB mengadakan perbincangan itu secepat mungkin.
"Maklum balas awal dari IPP menunjukkan mereka bersedia berunding dan kami akan memulakannya secepat mungkin.
"Saya tidak boleh menyatakan hasil rundingan tersebut, tetapi biarlah kami berunding dahulu," katanya dalam sidang media bagi menjelaskan penstrukturan semula harga subsidi gas untuk sektor tenaga di ibu pejabat TNB di ibu negara hari ini.
Menurutnya, keputusan perbincangan tersebut akan dimaklumkan kepada kerajaan untuk keputusan lanjut.
Che Khalib berkata, peningkatan harga gas dari RM6.40 kepada RM14.31 bagi setiap mmBtu akan menambah kos bahan api kepada kira-kira RM4.2 bilion setahun.
Manakala peningkatkan harga arang batu, katanya menyebabkan TNB terpaksa menambah kos sebanyak RM1.4 bilion.
Kos operasi
Beliau berkata, harga telah meningkat sebanyak 123 peratus iaitu dari RM6.40 kepada RM14.31 bagi setiap mmBtu, manakala harga arang batu meningkat lebih 170 peratus sejak 1996.
"TNB telah membeli gas pada harga subsidi iaitu RM6.40 setiap mmBtu dari Petronas sejak 1997 lagi.
"Tarif rendah yang dinikmati pengguna ketika ini adalah disebabkan oleh harga subsisi gas tersebut," katanya.
Sementara itu, pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie yang hadir sama dalam sidang media tersebut berkata, TNB bukan sahaja perlu menanggung kos operasinya tetapi juga tetapi juga kos operasi IPP.
Katanya, di bawah perjanjian jual beli tenaga (PPAs) antara TNB dan IPP, kos bahan api secara keseluruhannya ditanggung oleh TNB.
"Kos bahan api adalah komponen terpenting dalam operasi TNB dan sebagai sebuah syarikat, TNB tidak mampu untuk terus menyerap kos yang tinggi," katanya.
Tarif baru
Che Khalib berkata, TNB akan menurunkan tarif elektrik jika harga gas turun da ianya pernah berlaku pada tahun 1997 apabila harga bahan bakar ketika itu turun.
Semalam, dalam sidang media di Putrajaya, perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan struktur tarif baru elektrik yang akan digunapakai oleh semua pengguna domestik, komersial dan industri di Semenanjung.
Satu struktur tarif baru akan diumumkan tidak lama lagi bagi Sabah dan Sarawak.
Berkuatkuasa 1 Julai ini, pengguna bawah 200 kwj (kilowat-jam) setiap bulan dengan anggaran bil elektrik kurang RM43.60 akan membayar kadar seperti sekarang selagi mereka kekal jumlah penggunaan.
Kumpulan pengguna ini terdiri 59 peratus isi rumah di Semenanjung.
Manakala mereka yang menggunakan lebih daripada 200 kilometer, perlu membayar tambahan hampir 20 peratus lagi.

