Pengumuman kerajaan menaikkan harga minyak berkuatkuasa kelmarin, menimbulkan persoalan dan spekulasi kerana menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad membayangkan kenaikan itu mahu dilaksanakan Ogos depan, kata Muslimat PAS.

"Ia memberi satu persepsi seolah-oleh kerajaan telah berbohong kepada rakyat ataupun ada sesuatu yang tidak kena yang hendak diselindungi daripada pengetahuan umum," kata ketuanya Zuridah Mohd Salleh.

"Ia juga menyebabkan timbulnya bermacam persoalan dan spekulasi diminda rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Dewan Muslimat berasa amat kesal dengan sikap kerajaan BN yang mengumumkan harga minyak secara mendadak - satu kenaikan paling tinggi dalam sejarah negara, sebanyak 78 sen.

Secara spontan, tambahnya, orang ramai berpusu-pusu dan berebut-rebut ke stesen minyak hingga larut malam sehingga berlaku kesesakan jalanraya di sekitar bandar-bandar besar.

"Suasana ini amat menyusahkan orang ramai dan memberikan gambaran seolah-olah kerajaan tidak pandai mengurus krisis kenaikan harga minyak ini dengan baik dan bijak," katanya.

Menurut Zuridah, seharusnya krisis ini ditangani dengan bijaksana tanpa banyak menyusahkan orang ramai, terutama golongan berpendapatan rendah yang paling perit terjejas.

Keuntungan Petronas

"Ke mana perginya manifesto 'tradisi membela rakyat'? Kepentingan siapakah yang lebih utama," soal beliau.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan BN memperlihatkan ia tidak lah begitu bijak dan tidak cemerlang mengurus sistem subsidi minyak walaupun negara untung berlipat ganda daripada hasil minyak yang dikendalikan oleh Petronas.

"Muslimat PAS juga amat bimbang akan kesan inflasi yang akan melanda daripada tindakan ini. Isu ini tidak boleh dipandang remeh.

"Kenaikan harga minyak ini akan menyebabkan hampir semua harga barangan pengguna akan turut naik dan kerajaan tidak diyakini dapat mengawal dan membendung kenaikan harga ini.

"Peniaga kecil pula mula bimbang tidak dapat meneruskan perniagaan dan gulung tikar, yang akan mengakibatkan orang ramai hilang pekerjaan dan meningkatkan kadar pengangguran ke tahap yang kronik.

"Ini semua akan menjejskan kestabilan dan meningkatkan kos sara hidup rakyat Malaysia," tambahnya.

Zuridah berkata, walaupun kerajaan memperkenalkan rebet tunai bahan api yang akan dibayar kepada pemilik kenderaan persendirian sebagai subsidi minyak, sayangnya ia tidak dapat turut dinikmati oleh golongan yang tidak memiliki atau tidak mampu memilik kenderaan.

Sepatutnya, kata beliau, golongan inilah yang amat perlu dibantu.