Blog: Umno sedia 'bertindak balas'
Umno akan "bertindak balas" terhadap laman web dan penulis blog yang menyerang dan memfitnah parti dan para pemimpinnya.
Ia antara perkara yang dibincang dan diputuskan dalam program dua hari permukiman Majlis Tertinggi Umno di Shah Alam, yang berakhir hari ini.
Seorang ahli MT memberitahu Malaysiakini, Umno kurang melayani laman-laman web dan blog yang menyerang parti, terutama sewaktu pilihanraya umum lalu.
"Berikutan itu, kita kena jawab dan memantau laman web dan penulis-penulis blog-blog berkenaan," katanya, yang enggan namanya disebut.
Menurutnya, langkah itu penting supaya serangan yang disebarkan itu tidak dianggap benar oleh rakyat.
Berikutan itu, katanya, parti merasakan Umno negeri dan bahagian perlu mempunyai laman web bagi menjawab tuduhan pembangkang.
"Pengundi muda khususnya lebih banyak menggunakan laman web daripada bahan bacaan," katanya lagi.
Tambahnya, Umno juga membincangkan bagaimana hendak menarik generasi muda supaya menyokong parti itu.
Bincang kelemahan parti
Katanya, setiap tahun, kira-kira 500,000 pengundi baru yang berdaftar dan ramai daripada mereka tidak menyokong Umno.
Ahli MT itu berkata, permukiman tersebut juga membincangkan pembaharuan-pembaharuan dalam parti supaya menjadi relevan, khususnya di kalangan generasi muda.
Katanya, kelemahan parti dalam pilihanraya umum lalu telah dikenal pasti dan akan diperbaiki sebelum menghadapi pilihanraya akan datang.
Laporan mengenai pilihanraya itu telah dibincangkan secara mendalam semalam oleh tiga kumpulan yang masing-masing diketuai oleh dua naib presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan ketua penerangan Tan Sri Muhammad Muhd Taib, jelasnya lagi.
Sumber itu menambah, isu kemasukan semula bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Nor juga dibincang secara umum.
Katanya, parti berpendapat seseorang yang memohon menjadi ahli perlulah jujur dan hendaklah melalui proses tertentu sebelum permohonannya diterima.
Sementara itu, Muhyiddin ketika ditemui dalam sidang media di pejabatnya petang tadi, berkata beliau tidak mahu bercakap apa-apa mengenai permukiman tersebut.
"Saya bukan pihak yang mempunyai kelayakan untuk bercakap mengenainya. Saya tidak boleh kata apa-apa," katanya.

