Guna 'prinsip moral' cabar Rais
Datuk Seri Dr Rais Yatim tidak berhalangan jika timbalannya mahu mencabar kedudukannya sebagai ketua bahagian Umno Jelebu pada pemilihan yang dijadualkan berlangsung dari 9 Oktober hingga 9 November.
Rais berkata pencabarnya Datuk Yunus Rahmat mempunyai hak untuk bertanding, tetapi perlulah menggunakan cara yang "berprinsip moral".
Tambah menteri luar, yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno, biarlah persaingan antara dua tokoh utama bahagian itu berjalan tanpa sebarang provokasi atau saling memburuk-burukkan sesama sendiri, lapor
Bernama
.
"Saya yakin anggota-anggota Umno kini matang dalam membuat keputusan untuk memilih sesiapa sahaja sebagai pemimpin mereka," beliau dilaprkan berkata selepas merasmikan kempen kesihatan Kuala Klawang semalam.
Selasa lepas, Yunus dilaporkan menyatakan minat mencabar jawatan utama di bahagian itu "atas kesedaran sendiri yang mahu berkhidmat kepada rakyat".
Yunus, juga exco kerajaan Negeri Sembilan, menyokong wakil rakyat Pertang dan speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Razak Mansor bertanding menggantikan kedudukannya sekarang.
Yunus berkata hasratnya dan Razak untuk bertanding dua jawatan teratas itu telah dimaklumkan kepada pengerusi Badan Perhubungan Umno.

