Air percuma: Syabas tolak S'gor
Sekali lagi syarikat bekalan air Selangor bergelut dengan kerajaan negeri - hanya beberapa hari selepas menteri besarnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin dapat menunaikan janji itu seperti dalam manifesto PKR.
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) hari ini menolak terma dan syarat pembayaran yang dijanjikan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), sebuah syarikat milik kerajaan negeri berhubung pemberian 20 meter padu air percuma.
Ketua pegawai eksekutifnya Datuk Ruslan Hassan berkata Syabas tidak bersetuju dengan kandungan surat akujanji bersyarat KDEB itu yang ditandatangani pada 6 Jun lalu dan dihantar kepada syarikat itu pagi tadi.
Surat penolakan syarikat itu telah dihantar kepada KDEB untuk tindakan lanjut, katanya, lapor
Bernama
.
Ruslan berkata syarikat tersebut tidak bersetuju dengan akujanji yang mencadangkan pembayaran bil-bil air yang diberikan percuma kepada pengguna hanya akan dibuat oleh KDEB selepas cadangan penstrukturan semula sistem bekalan air di Selangor siap sepenuhnya September ini.
Katanya, cadangan KDEB secara langsung menjejaskan aliran tunai Syabas dan boleh menjejaskan operasi syarikat itu.
"Oleh itu, cadangan balas Syabas ialah untuk mengebil kepada pihak KDEB setiap penghujung bulan dan pembayaran oleh KDEB kepada Syabas perlu diterima dalam tempoh 14 hari daripada penyerahan tuntutan tersebut," katanya.
Katanya, kegagalan KDEB memenuhi syarat pembayaran seperti yang dicadangkan itu akan menyebabkan Syabas terpaksa menghentikan program pemberian air percuma itu.
Khamis lepas, Khalid berkata isu pemberian 20 meter padu air percuma seperti yang dijanjikan "dianggap selesai dan akan diteruskan".
"Esok (6 Jun), selesailah dan saya rasa, Syabas akan memasukkannya dalam akaunnya," katanya, mengulas kenyataan Syabas bahawa perbincangan syarikat itu dengan kerajaan Selangor belum mencapai keputusan.

