Umno Kelantan dirombak?
Perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijadual mengadakan lawatan kerja sehari ke Kelantan Jumaat ini dan sekali gus mencetuskan spekulasi mungkin berlaku rombakan dalam barisan kepimpinan badan perhubungan Umno negeri.
Setibanya di Kota Bharu, Abdullah yang juga presiden Umno, dijadual menghadiri mesyuarat badan perhubungan Kelantan pada jam 10 pagi.
Menurut kenyataan Jabatan Penerangan Kelantan, perdana menteri akan menghadiri mesyuarat tersebut di Hotel Renaissance.
Umno negeri yang dipimpin oleh Datuk Seri Annuar Musa kalah teruk dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, walaupun pada mulanya BN yakin dapat merampas Kelantan daripada PAS.
Sebelum pilihanraya 2004, PAS memerintah Kelantan hanya dengan majoriti satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu PAS 23 dan BN 22.
Bagaimanapun, dalam pilihanraya umum lalu, BN hanya menang di enam kerusi DUN walaupun melancarkan gerak gempur besar-besaran untuk menawan negeri tersebut.
Pulih kekuatan
Annuar sendiri tewas di kerusi parlimen Keterah. Begitu juga dengan timbalan pengerusi Umno negeri Datuk Awang Adek yang tewas di parlimen Bachok dan DUN Perupok.
Bagi kerusi parlimen pula, hanya dua calon Umno menang - Datuk Mustapha Mohamad dan Tengku Razaleigh masing-masing di Jeli dan Gua Musang.
Ekoran itu, difahamkan, barisan kepimpinan Umno Kelantan mungkin dirombak semula untuk memulihkan kekuatannya semula.
Sementara itu, Bernama melaporkan, selepas mesyuarat itu, Abdullah akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Muhammadi dan kemudiannya ke Bendang Perangkap, Bunut Susu, Pasir Mas bagi merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Meningkatkan Pengeluaran Beras Negara yang dijadualkan berlangsung pada jam 3.25 petang.
Pada sebelah malamnya, Abdullah akan menghadiri Majlis Pemimpin Masyarakat Bersama Perdana Menteri di Yayasan Kemiskinan Kelantan di Padang Kala di Kota Bharu.
Abdullah kemudiannya dijadual berlepas ke Terengganu pada 10.30 malam.

