Ian Chian 'hakim cekap dan berani'
Datuk Ian HN Chin, hakim Mahkamah Tinggi Sarawak/Sabah yang membuat beberapa pendedahan mengejut semalam, terkenal di kalangan pengamal guaman sebagai seorang hakim yang berani.
"Beliau telah berkhidmat selama beberapa tahun di Kuching," kata peguam See Chee How. "Chin dikenali sebagai seorang yang cekap dan berani - semuanya berjalan lancar dalam mahkamahnya."
Hakim kelahiran Sabah pernah menjadi seorang ahli politik, walaupun seketika, di mana beliau bertanding dalam beberapa pilihanraya atas tiket Barisan Nasional (BN).
Selepas dilantik sebagai hakim, beliau membuat kejutan dalam beberapa kes berprofail tinggi, termasuk dua kes di Sabah.
Yang pertama ialah kes petisyen pilihanraya yang difailkan pada bulan Mei 1997 oleh Donald Lawan, yang bertanding sebagai calon bebas menentang calon BN, Mong Dagang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan (Sarawak).
Lawan, yang tewas, telah menyerahkan bukti-bukti berlakunya pembelian undi dalam pilihanraya tersebut.
Chin dalam penghakimannya memutuskan bahawa wujud bukti-bukti rasuah dilakukan oleh Mong Dagang atau ejen-ejennya, dan mengisytiharkan bahawa pilihanraya itu tidak sah dan batal.
Chin sekali lagi menarik perhatian umum apabila beliau mengisytiharkan pada bulan Ogos 2001 bahawa penduduk asal di Bintulu mempunyai hak-hak adat terhadap kawasan seluas 672 hektar yang dipertikaikan, selepas pihak berkuasa memajaknya kepada syarikat perladangan, Borneo Papar and Pulp.
Fail petisyen
Keputusan itu dialu-alukan oleh para peguam dan mereka yang berkempen untuk hak tanah adat sebagai satu kes yang penting berhubung isu tersebut.
Chin kini sedang mendengar satu lagi petisyen yang difailkan oleh calon DAP, Dr Wong Hua Seh untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa keputusan bagi kerusi Parlimen Sarikei sebagai batal dan tidak sah.
Wong kalah kepada calon BN, Ding Kuong Hing dari Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, dengan majoriti tipis 51 undi.
Di permulaan perbicaraan tersebut di Sibu semalam, Chin membuat beberapa pendedahan yang mengejutkan, nampaknya, untuk mendahului sebarang kemungkinan oleh kedua-dua pihak terbabit untuk
membatalkan kelayakannya sebagai hakim yang mendengar kes tersebut atas alasan tidak mendedahkan maklumat tertentu.
Maklumat tersebut adalah dalam dua bahagian utama - penahanan bapanya dan saudara lelakinya di Sabah dan percubaan untuk campurtangan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam proses kehakiman.
Chin berkata, beliau tidak mahu dianggap prejudis atau berat sebelah selepas apa yang telah berlaku atau bagi mana-mana peguam untuk menggunakan maklumat tersebut kemudiannya untuk membatalkan
kelayakannya sebagai hakim yang mendengar kes tersebut.
Selepas mendedahkan maklumat tersebut, Chin telah meminta peguam yang mewakili kedua belah pihak sama ada mereka akan memohon untuk berbuat demikian. Mereka menjawab tidak.
Dakwaan beli undi
Hua Seh dari DAP, yang memfailkan petisyen tersebut, telah mendakwa Ding (kanan) dan ejen-ejennya, serta jutawatan balak, Tan Sri Ting Pek King, telah melakukan rasuah membeli undi.
Ting menjadi terkenal apabila syarikatnya Ekran berjaya memenangi kontrak pada 1993 untuk membina Ampangan Bakun, projek haidroelektrok terbesar di rantau ini.
Menurut petisyen tersebut, Ding dan Ting telah menjemput kira-kira 1,600 orang dari Bintangor dan Sarikei untuk makan malam sebanyak tiga kali - pada 25 Februari, 29 Februari dan 2 Mac - sewaktu tempoh kempen pilihanraya.
"Sewaktu majlis makan malam itu, yang diadakan di restoran terkenal, Ting secara terbuka mengumumkan bahawa beliau akan membina Kolej Tunku Abdul Rahman atau Kolej TAR, jika rakyat mengundi
Ding," kata Pengerusi DAP negeri, Wong Ho Leng memberitahu pemberita di Sibu apabila petisyen Hua Seh difailkan.
Wong juga mendakwa, bekas ahli Parlimen Sarikei, Datuk Seri Law Hieng Ding, yang hadir di majlis makan malam pada 29 Februari, telah membayangkan kepada para tetamu yang hadir bahawa satu undi untuk Ding bermakna satu untuk untuk kolej tersebut.
Ho Leng juga mendakwa, pada 4 Mac, Ting telah melakukan satu lagi kes membeli undi apabila beliau memberitahu sekumpulan 60 orang di tapak cadangan membina kolej tersebut di Bintangor bahawa beliau akan memulakan fasa pertama pembinaannya sebaik sahaja Ding menang.
Ding, calon BN yang diisytiharkan sebagai pemenang, kemudiannya memfailkan satu notis usul meminta mahkamah membatal atau menolak petisyen tersebut dengan kos.

