Sazmi: Pulangkan RM800 juta pada KPT
Pemuda Umno meminta kerajaan mengkaji semula tindakan mengurangkan peruntukan kepada Kementerian Pengajian Tinggi sebanyak RM800 juta dalam tempoh Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9).
Sabtu lalu, menteri berkenaan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Unit Perancang Ekonomi (EPU) mengurangkan peruntukan tersebut sebagai langkah jimat cermat kerajaan yang memerlukan dana yang besar untuk subsidi, khususnya makanan.
Mengulas perkara tersebut, Exco Pemuda Umno, Datuk Sazmi Miah berkata, pendidikan adalah keperluan asas seperti makan minum dan oleh kerana itu ia tidak perlu dikurangkan.
"Pendidikan penting kepada rakyat dan kerana itu saya berharap peruntukan tersebut dikembalikan semula kepada kementerian berkenaan," katanya.
azmi berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan blog Pemuda Umno ‘Saka Bangsa' di Kuala Lumpur hari ini.
enurutnya, kenaikan harga minyak telah menjejaskan rakyat miskin yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
"Harga susu, beras dan gula telah meningkat sebanyak 10 peratus. Semuanya meningkat, ini yang kena kawal. Kawal kesan-kesan sampingannya," katanya.
Mansuh elaun keraian
Sazmi berkata, kakitangan swasta juga sepatutnya boleh menerima pengurangan bayaran gaji mereka.
Sazmi juga berkata, cadangan untuk memotong 10 peratus gaji menteri, timbalan dan kaki tangan awam ekoran kenaikan harga minyak merupakan satu keputusan tidak popular kerajaan.
Pemuda, katanya juga mencadangkan pekerja sektor swasta juga turut berbuat demikian secara sukarela.
Bagaimanapun, beliau berkata, adalah lebih `baik' jika kerajaan memansuhkan elaun hiburan yang diberikan kepada menteri dan timbalannya.
Namun katanya, potongan 10 peratus seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu merupakan satu permulaan yang baik.
"Tetapi jika ia dimansuhkan, ia akan menjadi lebih baik," katanya.
Sazmi berkata, walapun kerajaan boleh menjimatkan sehingga RM2 bilion setahun tetap untuk jangka masa pendek, kerajaan perlu melakukan lebih banyak lagi.

