Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan langkah membayar gaji kakitangan awam dua kali setiap bulan mulai Ogos ini sebagai "tidak sesuai bagi mereka yang bergaji rendah."

omar osman Presidennya Omar Osman berkata, mekanisme itu tidak relevan kerana ia akan mendatangkan masalah bagi mereka yang tidak bijak berbelanja.

"Mekanisme ini dilihat tidak relevan, misalnya bagi mereka bergaji RM800 atau RM1,200 sebulan.

"Jika mereka terima RM400 ansuran pertama, ia boleh habis sekelip masa. Cara ini dilihat ada masalah, dari segi praktiknya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Namun begitu, menurut Omar, mekanisme itu dilihat bersesuaian bagi mereka yang bergaji besar.

"Apa yang dibuat kerajaan ini sesuai bagi mereka yang bergaji besar, misalnya RM10,000 dan mereka tidak bermasalah menguruskan perbelanjaan.

"Keadaan ekonomi masa kini yang tidak seimbang, memberi implikasi besar kepada sektor awam," tambahnya.

Omar juga kesal kerana kerajaan tidak mendapatkan pandangan Cuepacs terlebih dahulu sebelum mengumumkan keputusan membayar gaji kakitangan awam dalam dua ansuran sebulan mulai Ogos ini.

Mesyuarat Cuepacs

"Kami hanya dipanggil ketika membincangkan cara menangani inflasi bersama perdana menteri baru-baru ini.

"Kalau boleh, jemputlah kami untuk memberikan pandangan (mengenai ansuran bayaran gaji) kerana kami tahu permasalahan rakyat (kakitangan awam)," katanya.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengumumkan langkah tersebut untuk membantu kakitangan awam menguruskan aliran tunai isi rumah berikutan kenaikan harga minyak.

Ansuran pertama gaji akan dibayar pada pertengahan bulan manakala ansuran kedua akan melibatkan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya.

Sementara itu, mengenai langkah membenarkan kakitangan awam berkerja sambilan, Omar menyarankan supaya mereka bekerja tidak melebihi jam 12 tengah malam bagi memastikan produktiviti, kesihatan dan keselamatan mereka tidak terjejas.

Ketua jabatan pula, katanya, perlulah bertolak ansur membenarkan kakitangan mereka bekerja sambilan.

"Di samping itu, gaya hidup perlulah diubah ke arah yang lebih sihat dan bahagia, bukan kepada yang menyusahkan," katanya.

Menurut Omar lagi, Cuepacs akan bermesyuarat pada 28 Jun ini untuk membincangan isu-isu semasa berkaitan kakitangan awam.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS