Tiada tanda SAPP tinggal BN
Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Musa Aman menyatakan tiada tanda-tanda setakat ini sebuah parti komponen parti itu akan melompat kepada Pakatan Rakyat seperti diuar-uarkan.
"Mungkin ia hanya spekulasi sahaja... tidak ada sebarang petanda dan saya juga tidak menerima panggilan atau pengesahan mengenai perkara itu," katanya Musa, yang juga ketua menteri, hari ini.
Beliau mengulas laporan muka depan sebuah akhbar di negeri itu yang membuat spekulasi bahawa Parti Maju Sabah (SAPP) mungkin parti yang dimaksudkan akan meninggalkan BN seperti ramalan ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Parti komponen BN itu dikatakan akan berbuat demikian menjelang hujung bulan ini.
Ditanya sama beliau telah menghubungi presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee mengenai ura-ura itu, lapor Bernama , Musa berkata beliau belum menghubunginya mengenai perkara itu tetapi mengakui "telah menemuinya terlebih dahulu."
"Dia (Yong) tidak memberitahu apa-apa mengenai SAPP meninggalkan BN," beliau dipetik sebagai berkata.
"Kita mempunyai hubungan baik di kalangan parti-parti komponen BN negeri di Sabah," tambahnya.
Musa juga mengesahkan bahawa perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan melakukan lawatan singkat ke negeri itu esok dan akan menemui pemimpin Umno negeri serta berjumpa dengan pemimpin parti-parti komponen BN negeri.
Abdullah sebelum itu dijangka merasmikan penutupan Persidangan Antarabangsa Ketua Pegawai Eksekutif Kedua 2008 di Kota Kinabalu 4 petang.
Sementara itu, timbalan presiden SAPP Datuk Raymond Tan menafikan parti itu akan meninggalkan BN.

