BERITA Malaysiakini

MT SAPP sokong usul tidak percaya

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

kemaskini 4:55pm Mesyuarat majlis tertinggi Parti Progresif Sabah (SAPP) hari ini memutuskan untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri seperti dikemukakan oleh presidennya Datuk Yong Teck Lee.

Bagaimanapun, mesyuarat tersebut tidak membuat sebarang keputusan sama ada akan keluar dari Barisan Nasional.

Sebaliknya, Yong meminta pemberita bertanya kepada setiausaha agung BN, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor mengenai kedudukan SAPP dalam BN.

sapp sabah meeting 200608 07 Seramai 33 daripada 35 ahli majlis hadir, kecuali timbalan presiden yang juga ahli parlimen Sepanggar, Datuk Eric Enchin Majimbun, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas, Datuk Liew Teck Chan.

Kedua-duanya berada di luar negara.

Pertemuan itu bermula jam 10 pagi tadi, di ibu pejabatnya di Kota Kinabalu.

Hadir sama, timbalan presiden Datuk Raymond Tan, yang juga timbalan ketua menteri Sabah, yang kritikal terhadap Yong.

Majlis tertinggi SAPP juga menggariskan lapan "perisytiharan penduduk Sabah" ke arah mewujudkan sebuah kerajaan beramanah dan masyarakat adil, harmoni dan progresif.

bullet button Kerajaan berasaskan tadbir urus yang baik, masyarakat madani dan politik bukan perkauman.

bullet button Sabah harus mempunyai autonomi politik, yang kerajaannya dibentuk dan diuruskan oleh penduduk Sabah.

bullet button Sabah dan negeri lain yang mengeluarkan minyak berhak mendapat 20 peratus royalti petroleum.

bullet button Wilayah Persekutuan Labuan dikembalikan kepada Sabah dan diuruskan sebagai satu wilayah khas.

bullet button Undang-undang pusat yang tidak adil kepada Sabah, dan jabatan persekutuan yang tidak membawa manfaat kepada negeri itu, dikaji semula.

bullet button Sabah diberikan penyertaan adil dan saksama dalam pentadbiran persekutuan, perkhidmatan awam dan sektor swasta, dan jabatan persekutuan di Sabah, seboleh-bolehnya diketuai rakyat tempatan.

bullet button Kerajaan pusat dan kerajaan negeri menyediakan sumber, kesungguhan dan kepimpinan dalam menyelesaikan masalah kehadiran pendatang tanpa izin dengan cara yang tegas tetapi berperikemanusiaan, dengan tumpuan kepada konsep serantau dan perkongsian bijak.

bullet button Kerajaan pusat dan kerajaan negeri bekerjasama membetulkan ketidakseimbangan dalam struktur ekonomi dan sosial melibatkan Sabah dan negeri lain.

Mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan hala tuju parti itu ekoran kenyataan Yong pada Rabu lalu bahawa SAPP telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah.

Sebelum ini, Tan mengecam keputusan Yong itu, dengan menyatakan beliau berasa "keliru dan malu" dengan tindakan partinya, satu daripada komponen BN yang dipengerusikan Abdullah.

Tan juga mendakwa majlis tertinggi tidak dirujuk terlebih awal berhubung perkara tersebut dan mendakwa usul tidak percaya tersebut tindakan politik Yong sahaja.

Kedua-dua pemimpin itu dilaporkan mengadakan pertemuan empat mata kira-kira sejam sebelum mesyuarat majlis tertinggi parti.

Tiga wakil rakyat parti antara yang dilaporkan hadir: ahli parlimen Tawau Datuk Dr Chua Soon Bui; Adun Luyang, Melanie Chia, dan Adun Elopura, Au Kam Wah.

sapp sabah pc 180608 02 Sementara itu, Yong (foto, duduk tengah) dilaporkan sedang disiasat kerana disyaki terlibat dalam satu kes rasuah membabitkan RM5 juta yang didakwa dilakukan ketika beliau sebagai ketua menteri Sabah.

Ketua pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan memberitahu Utusan Malaysia hari ini, badan itu sedang menyiasat pembabitan Yong susulan satu pendedahan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Mahkamah diberitahu Yong telah mengarahkan pembayaran lebih RM5 juta hasil keuntungan jualan saham syarikat milik kerajaan Sabah kepada ejen pilihannya pada 1996.

Bekas pengarah Briskmark Enterprise Sdn Bhd, Datuk Wasli Mohd Said berkata, semasa beliau menjadi pengurus besar Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS), beliau berjumpa bekas ketua menteri itu di pejabatnya untuk memberikan taklimat mengenai cadangan pengambilalihan pengurusan 40 peratus saham Sapi Plantation milik lembaga tersebut.

Wasli berkata, menurut laman web akhbar itu, peguam yang mewakilinya William Cheah mencadangkan penubuhan syarikat (Briskmark) untuk dijadikan wadah bagi dana politik dan peguam itu memintanya memberikan taklimat kepada ketua menteri berhubung perkara itu.