Konsert: Pemuda PAS jumpa mufti
kemaskini 10:22pm Pemuda PAS Selangor bercadang berjumpa mufti Selangor minggu depan berhubung konsert penyanyi terkenal Ella dan Mas Idaya yang dijadual 6 Julai ini.
"Kita akan berjumpa mufti Isnin ini. Mufti mesti memberikan pandangannya dalam hal ini," kata ketua pergerakan itu Sallehen Mukhyi kepada Malaysiakini hari ini.
Menurutnya, surat rasmi kepada Datuk Seri Tamyes Abdul Wahid akan dihantar hari ini.
Sallehen berkata, Pemuda PAS negeri tetap meneruskan bantahan terhadap konsert tersebut yang diadakan bersempen perlawanan bola sepak persahabatan Piala Sultan Selangor tetapi “perhimpunan membantahnya belum diputuskan.”
“Perhimpunan itu adalah pandangan peribadi saya. Dan perkara itu belum diputuskan dalam mesyuarat,” katanya apabila diminta mengulas kenyataan ketua Pemuda PAS pusat Salahuddin Ayub hari ini.
Ahli parlimen itu dilaporkan memaklumkan perhimpunan bantahan terhadap konsert itu dibatalkan.
Bagaimanapun, Salahuddin menafikan mengeluarkan kenyataan yang dilaporkan dalam The Star .
"Laporan itu tidak benar sama sekali," tegas beliau kepada Harakahdaily.net .
"Tidak timbul masalah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan saya mengarahkan perhimpunan yang dicadangkan sebagai langkah terakhir Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor itu dibatalkan," katanya.
Menurut media rasmi parti itu lagi, Pemuda PAS pusat akan bersama-sama dengan Pemuda negeri untuk meneruskan bantahan jika pandangan mereka tidak diambil kira "demi menjaga nama baik Sultan dan imej kerajaan Pakatan Rakyat".
Mengulas rancangan dewan itu di majlis menghadap Sultan Selangor yang dijadualkan sebelum akhir bulan ini, Sallehen berkata pihaknya akan berhujah berdasarkan garis panduan hiburan seperti pernah dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Kita akan gunakan panduan Jakim sendiri. Hujah kita berasaskan kepada panduan itu," katanya.
Ditanya sama ada bantahan terbuka Pemuda PAS itu membayangkan keretakan dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, beliau berkata:
"Secara terus terang, Selangor belum mempunyai jawatankuasa bersama (antara PAS, PKR dan DAP). Yang ada, hanyalah mesyuarat kerajaan yang melibatkan tiga parti," katanya.
Teguran melalui saluran dalaman, menurutnya, seperti yang sering digunakan Pemuda Umno terhadap pentadbiran kerajaan BN "terbukti tidak menyelesaikan masalah."
"Pemuda Umno yang selalu menggunakan saluran dalaman. Perkara itu sudah lama (diamalkan) dan terbukti tidak menyelesaikan masalah."
Tambahnya, jika konsert itu tetap diadakan, Pemuda PAS akan mengadakan solat hajat.
"Kalau terus juga, kita akan buat solat hajat mohon petunjuk daripada Allah. Tetapi setakat ini, kita tidak merancang ke arah perhimpunan itu," katanya.

