Boikot media di Parlimen berakhir
Para wartawan telah menghentikan tindakan boikot mereka hari ini selepas dibenarkan memasuki semula lobi Parlimen. Semalam, mereka dilarang berbuat demikian.
Pagi ini, mereka dapat memasuki kawasan lobi dan bertemu dengan ahli-ahli Parlimen seperti biasa.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Tiong King Sing juga memberitahu wartawan bahawa mereka tidak akan dilarang menjalankan tugas mereka di kawasan lobi.
"Keadaan telah pulih semula," lapor seorang wartawan kanan Malaysiakini.
Semalam, lebih 100 wartawan mengambil keputusan mengadakan boikot selepas mereka dilarang masuk ke kawasan lobi Parlimen.
Pihak pentadbiran Parlimen berkata, larangan tersebut dikuatkuasa atas sebab-sebab keselamatan.
Sebelum ini, wartawan sering berlegar-legar di kawasan lobi di mana mereka dapat bertemu dengan ahli-ahli Parlimen untuk mendapatkan bahan berita, selain membuat liputan sesi sidang Dewan Rakyat.
Protes tersebut turut menjejaskan sidang akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat dari Kuala Lumpur.
Abdullah mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kabinet mengenai daya saing minyak kelapa sawit di banguna Parlimen manakala Najib pula mempengerusikan dua mesyuarat, termasuk mesyuarat pengurusan Umno.

