dikemaskini Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyerahkan borang permohonan pendaftaran baru seperti disyorkan oleh menteri dalam negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Setiausaha penajanya S Arutchelvan berkata, PSM telah menghantar borang pendaftaran kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) Selangor jam 2.30 petang tadi.

Permohonan itu disertakan undang-undang tubuh parti seperti dipersetujui ROS pada 10 Ogos 1998 dan senarai perwakilan di 12 negeri, tambahnya.

Hanya Terengganu dan Sarawak tidak mempunyai perwakilan parti itu, katanya lagi.

Arutchelvan memberitahu Malaysiakini hari ini, pengerusi penaja Dr Mohd Nasir Hashim, bendaharinya A Sivarajan dan beliau sendiri hadir kira-kira 15 minit di pejabat itu di Shah Alam.

Pendaftaran semula parti itu susulan keputusan terbaru Kementerian Dalam Negeri (KDN) minggu lalu membenarkannya didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

PSM bergelut selama 10 tahun, termasuk menyeret kerajaan ke mahkamah, apabila kementerian itu menolak permohonannya pada 1998.

Pada 17 Jun, susulan keputusan KDN itu, peguam PSM memohon Mahkamah Persekutuan menangguhkan kes rayuannya terhadap Mahkamah Rayuan yang menolak pendaftaran parti itu.

Mahkamah Persekutuan kemudiannya memutuskan untuk menunda kes itu sehingga menunggu pendaftarannya.

Keputusan Syed Hamid itu sebagai menjawab emel Arutchelvan bersama memorandum PSM kepadanya pada 28 Mei lalu yang meminta menteri itu campur tangan dalam masalah pendaftaran parti itu.

Syed Hamid menjawab memorandum itu, melalui emel awal bulan ini, dengan mengatakan kementeriannya akan menyokong pendaftaran PSM.

Pada pagi 17 Jun, Arutchelvan menerima sepucuk surat daripada KDN meminta PSM menyerahkan permohonan baru untuk pendaftaran.

Katanya, permohonan semula itu hanya sekadar memenuhi tuntutan rasmi.

Dalam memorandumnya, PSM menggesa kementerian meluluskan permohonan parti itu memandangkan janji kerajaan kini yang ingin melaksanakan reformasi.

Arutchelvan berkata, jika kerajaan bersedia melakukan perubahan dalam banyak hal ke arah kebaikan negara, PSM seharusnya dibenarkan didaftarkan.

Pada 30 April 1998, PSM memohon menubuhkan sebuah parti politik tetapi hanya dibenarkan aktif di Selangor. Rayuannya kepada menteri dalam negeri ditolak.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Dr Mohamed Nasir menfailkan satu permohonan bagi kajian semula kehakiman untuk membatalkan keputusan menteri tetapi ia ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 13 Januari 2003.

Selepas itu, ia dibawa ke Mahkamah Rayuan yang kemudiannya sebulat suara menolak rayuan itu dengan kos pada 16 Ogos 2006 dan mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Akta Pertubuhan 1966 membolehkan pendaftar mengenakan syarat-syarat yang dianggap wajar sebelum mendaftarkan sesebuah pertubuhan.

Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya memutuskan bahawa dasar ROS -- yang memerlukan jawatankuasa sesebuah parti politik mengandungi wakil dari sekurang-kurangnya tujuh negeri dalam Persekutuan apabila pendaftaran untuk peringkat nasional -- bukanlah amalan tidak munasabah.

Pada 23 April 2007, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada PSM untuk membuat rayuan terhadap keputusan yang tidak membenarkannya menubuhkan sebuah parti politik di peringkat kebangsaan.