Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
100 NGO serah memo pada Sultan S'gor
Diterbitkan:  Jul 3, 2008 5:24 PM
Dikemaskini: 2:58 PM

Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor hari ini menyerahkan memorandum kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai kelemahan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu dalam hal-ehwal Islam.

Seramai 200 anggota pelbagai NGO itu menyerahkan memorandum berkenaan kepada pegawai pengiring Sultan Selangor, komander Ahmad Ramli Kardi, di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam.

Jurucakap mereka Datuk Abdul Abdul Rahman Palil, berkata antara bantahan yang terkandung dalam memorandum itu ialah mengenai penyalahgunaan masjid sebagai medan berpolitik selain kewujudan semakin ramai penceramah dan khatib tidak bertauliah.

"Memorandum ini bertujuan agar keadaan yang berlaku ini dapat diperbetulkan memandangkan Tuanku Sultan adalah ketua agama di negeri ini," katanya kepada pemberita.

Menurut laporan Bernama , Abdul Rahman berkata memorandum itu juga menyebut mengenai pembinaan rumah ibadat tanpa memikirkan keperluan serta sensitiviti kaum serta mengenai isu zakat.

Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa, merupakan ahli exco negeri hal-ehwal agama sewaktu BN mentadbir Selangor penggal lalu.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, barisan pembangkang - PKR, DAP, PAS - yang kini dikenali sebagai Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan negeri selepas menang 36 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS