BERITA

Mufti Perlis cadang Nik Aziz jadi orang tengah

Diterbitkan
Dikemaskini 6 Jul 2008, 5:27 pagi

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan Mursyidul Am Pas menjadi orang tengah yang akan membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan untuk "mubahalah" atau 'bersumpah' sebagai jalan penyelesaian isu liwat yang kini menjadi tumpuan nasional.

nik aziz Katanya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga menteri besar Kelantan mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat terutama di kalangan para penyokong PAS dan sudah semestinya, beliau layak untuk menjadi orang tengah itu.

Ketika dihubungi Bernama di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini, Dr Mohd Asri berkata, beliau sebolehnya tidak mahu terbabit dalam sebarang isu politik tetapi terpaksa mengeluarkan pandangan apabila menyentuh perkara yang berkaitan agama.

"Saya percaya dengan pengaruhnya, Nik Aziz berupaya menjadi orang tengah," katanya yang baru selesai menjalani pembedahan kecil di IJN dan dibenarkan keluar dari institut itu hari ini.

mohd asri zainul abidin Dr Mohd Asri sebelum ini mencadangkan supaya isu liwat yang mengaibkan itu diselesaikan secara mubahalah atau "sumpah" sekiranya ia tidak dapat diselesaikan secara perundangan dunia.

Semalam, Pergerakan Pemuda Umno Terengganu meminta Mufti Perlis tampil sebagai orang tengah bagi membawa mereka yang terbabit dalam mubahalah dengan alasan Dr Mohd Asri tidak dipengaruhi mana-mana badan politik.

Tidak perlu modal

Bagaimanapun, Dr Mohd Asri berkata, apa yang lebih penting ialah tokoh yang menjadi orang tengah itu mempunyai pengetahuan agama yang tinggi dan diterima masyarakat meskipun beliau merupakan pemimpin politik.

Beliau turut menegur kesilapan fakta berhubung mubahalah yang dikaitkan sebagai kaedah "menjunjung al-Quran" sedangkan menurutnya dalam mubahalah, setiap orang akan memohon kelaknatan Allah ke atas dirinya jika berada di pihak yang salah.

Mufti Perlis itu percaya mubahalah yang tidak memerlukan wang atau modal akan menghapuskan prasangka dan hukumannya adalah adil.

Dalam mubahalah, seseorang yang dikaitkan perlu menyebut "Ya Allah! Jika aku lakukan apa yang dituduh ke atasku, maka laknatilah aku" manakala satu pihak lagi perlu menyebut " Ya Allah! Jika dia tidak lakukan apa yang aku tuduh itu, maka laknatilah aku."

Katanya, dalam isu yang melanda negara kini, seeloknya bermubahalah agar orang ramai tidak berbalah dan bertelingkah.

"Selepas bermubahalah, kita serah keputusan kepada Allah," katanya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.