Perhimpunan Protes gagal

   

Timbalan perdana menteri menyifatkan perhimpunan anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) semalam sebagai "gagal kerana tidak ramai rakyat yang menyertainya".

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata perhimpunan itu gagal mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu sejuta rakyat.

"Rakyat tidak hadir pada bilangan yang diandaikan. Yang hadir hanya penyokong tegar dia sahaja," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Peneroka 2008 di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya.

Beliau diminta mengulas perhimpunan memprotes kenaikan harga minyak itu yang diadakan di stadium Kelana Jaya, semalam.

Menurut laporan Bernama , Najib berkata demonstrasi bukan cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah kerana demonstrasi hanya meluahkan perasaan sahaja dan bukannya mencari penyelesaian yang realistik dan mampu dilaksanakan.

"Penyelesaian yang realistik dan mampu dilaksanakan, bukan dengan tidak berpijak di bumi nyata atau mengorbankan kepentingan jangka panjang untuk kepentingan jangka pendek," beliau dipetik sebagai berkata.

Sehubungan itu, katanya, cadangan pembangkang supaya kesemua wang Petronas digunakan untuk mengurangkan harga minyak di pasaran tempatan tidak realistik dan akan memberi kesan jangka panjang kepada syarikat minyak negara ini.

Najib berkata ini kerana Petronas tidak boleh menggunakan wang itu untuk pelaburan semula sekiranya kesemua wangnya digunakan untuk mensubsidi minyak.