Mesyuarat menilai kelemahan perhimpunan membantah kenaikan harga minyak semalam diadakan esok, antaranya membincangkan isu sambutan orang ramai dan kontroversi persembahan kumpulan punk rock Carburetor Dung.

Pertemuan penganjurnya Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes), yang dianggotai parti-parti pembangkang dan badan bukan kerajaan, dijadual di pejabat agung PAS, Kuala Lumpur petang esok.

Menurut satu sumber Protes, isu-isu lain yang dijangka berbangkit termasuk pemulauan Unit Amal PAS yang ditugaskan untuk mengawal kumpulan orang ramai dan lalu lintas.

Sementara itu setiausaha penaja PSM, yang juga ahli jawatankuasa Protes, S Arutchelvan memberitahu Malaysiakini , mesyuarat penilaian itu akan membincangkan punca-punca perhimpunan di stadium Kelana Jaya "kurang daripada sasaran".

"Perhimpunan itu kurang daripada sasaran kita. Mungkin disebabkan pertukaran tempat dan gangguan daripada polis," katanya hari ini.

"Saya dapat banyak SMS yang kata mereka tidak gembira dengan tindakan Protes mengadakan perhimpunan di dalam stadium."

Bagaimanapun, menurut Arutchelvan, jumlah peserta yang hadir "agak besar".

"Kita merasakan boleh sampai sehingga 60,000 orang kerana hadirin yang datang bertukar-tukar. Bukan datang serentak."

Mengulas dakwaan bahawa perhimpunan itu hanya seperti karnival, setiausa agung PSM itu berkata, terdapat banyak cara memprotes.

"Banyak cara protes, bukan hanya satu cara saja. Semua berkait antara satu sama lain."

Vokalis kumpulan Carburetor Dung, yang mengadakan persembahan kontroversi di perhimpunan itu, percaya kekecohan terjadi akibat provokasi pihak yang tidak dikenali.

"Saya rasa kejadian ini berpunca daripada provokasi tiga orang yang menghalang itu.

"Tetapi saya tidak rasa mereka ini kumpulan penyokong (pembangkang) yang hadir itu. Tidak tahulah siapa (mereka)," kata Alak kepada Malaysiakini hari ini.

Sebelum kejadian membaling objek dan menyerbu pentas sehingga mencederakan beliau, Alak waktu itu sedang menyanyikan Mari nyanyi menjilat .

Tiga orang itu pada mula melahirkan rasa tidak senang dengan lagu tersebut di depan pentas apabila penyanyi ini menunjukkan punggungnya, sehingga ternampak seluar dalam, kepada penonton.

Mereka kemudian naik ke pentas dan diikuti serbuan penonton ke depan, sambil marah-marah kepada Alak dan kumpulannya.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS