Mahkamah Majistret Jawi menetapkan 16 Oktober ini bagi sebutan semula kes Naib Presiden PAS Mohamad Sabu dan sembilan yang lain yangd dituduh menghalang tugas penjawat awam tahun lalu.

Majistret Mohd Izham Ali menetapkan tarikh itu sementara menunggu keputusan rayuan bagi melepas dan membebaskan kesemua tertuduh.

Menurut laporan Bernama, pada 16 April lalu, Mohd Izham membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melepaskan tanpa membebaskan kesemua tertuduh kerana ia tidak mahu meneruskan pendakwaan kes itu pada peringkat ini.

Berikutan permohonan Timbalan Pendakwaraya Nurina Zainal Abidin itu, pihak pembelaan memohon kepada mahkamah agar melepas dan membebaskan kesemua tertuduh kerana pihak pendakwaan didapati tidak bersedia dan gagal mengemukakan sesalinan dokumen serta fakta keterangan bagi perbicaraan kes itu.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh ditahan semula pada hari yang sama.

Peguambela kesemua tertuduh, Yusnita Yusoff, yang ditemui di luar mahkamah berkata pihak pembelaan telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bagi melepaskan dan membebaskan semua tertuduh.

"Kita sedang menunggu keputusan rayuan itu," katanya.

Mohamad, 53, dan yang lain dituduh menghalang Supt Mohd Nasir Salleh melaksanakan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur, terhadapnya.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan Plaza Tol Bukit Tambun, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar lebuh raya itu pada 7.45 malam 9 Disember tahun lalu.

Sembilan orang itu ialah Zamarul Aini Abdul Malek, 37; Zainal Azrun Zainal Abidin, 35; Abdul Rahim Mat Ariff, 58; Md Lazim Osman, 50; Mohd Biyamin Ishak, 44; Fauzi Saharat, 44; Abdul Razak Ramli, 42; Mohd Subri Mohd Said; 42 dan Mohamad Salleh, 47.