Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penganjur debat bersejarah malam tadi kecewa dengan insiden pergaduhan antara beberapa petugas media dengan pengawal keselamatan sejurus selepas tamat program yang menemukan menteri penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Agendadaily.com menyatakan, insiden tersebut tidak akan berlaku jika petugas media memberi kerjasama penuh kepada pengawal keselamatan yang bertugas.

Debat bertajuk "Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak" selama sejam disiarkan secara langsung ke seluruh negara melalui TV9, BernamaTV dan Astro Awani.

"Pengawal keselamatan hanya meminta petugas media supaya bersabar untuk memberi laluan kepada Ahmad Shabery dan Anwar meninggalkan tempat itu terlebih dahulu.

"Bagaimanapun, petugas media tidak menghiraukan arahan tersebut, sebaliknya terus berasak-asak untuk meninggalkan tempat media tersebut," kata ketua pengarang laman berita itu Rosli Ismail kepada Malaysiakini .

Beliau diminta mengulas insiden pergaduhan antara jurugambar dengan pengawal keselamatan sebaik sahaja majlis debat tersebut berakhir.

Kekecohan berlaku apabila kumpulan petugas media tersebut dikunci dalam sebuah bilik, menyebabkan mereka marah kerana tidak dapat keluar.

Difahamkan bilik tersebut dikunci oleh petugas keselamatan untuk memberi laluan kepada tetamu VIP meninggalkan dewan itu lebih awal.

Berikutan itu, empat jurugambar iaitu Khairul Hasnor Mohamad Khalili dari The Edge , Zulkifli Ersal ( The Sun ), Halim Berber ( SIPA Press , dari Perancis) dan Hanafiah Hamzah ( Channel News Asia ) membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi.

Rosli berkata, pengawal keselamatan yang didakwa mengasari petugas-petugas media berkenaan diupah oleh Agendadaily.com dari sebuah syarikat pengurusan acara bagi membantu melicinkan pentadbiran dan keselamatan acara perdebatan tersebut.

Katanya, penganjur mendapatkan khidmat kira-kira 10 orang pengawal keselamatan dari syarikat berkenaan.

"Kami sedaya-upaya memberi kerjasama kepada media yang membuat liputan tersebut yang berjumlah lebih 100 orang.

"Sebab itu kami tidak mengambil tindakan walaupun ada jurugambar yang mengambil gambar semasa siaran langsung dibuat walaupun kami mengingatkan mereka jangan berbuat demikian," katanya.

Bagaimanapun, Rosli berkata pihaknya akan terus mengadakan majlis debat seperti itu pada masa depan.

Tetapi, katanya beliau berharap tidak timbul lagi insiden yang tidak diingini seumpama itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS