Siasatan awam insiden BMC Rabu depan
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan mengadakan siasatan awam berhubung dakwaan polis menggunakan kekerasan semasa insiden di Bandar Mahkota Cheras, mulai Rabu depan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Suhakam berkata, siasatan tersebut akan diadakan selama dua hari di Bilik Siasatan, Tingkat 29, Suhakam.
Menurutnya, siasatan awam tersebut akan berjalan dari jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang.
Ia akan didengar oleh tiga anggota panel yang terdiri daripada suruhanjaya Suhakam - Datuk Zaitoon Othman (pengerusi), Datuk Dr Chiam Heng Keng dan Datuk Khalid Ibrahim.
Dalam siasatan itu, penal berkenaan akan menyiasat:
Sama ada terdapat anggota penguatkuasa undang-undang, ketika menjalankan tugas menguatkuasa undang-undang, telah menggunakan kekerasan yang berlebihan.
Jika berlaku kekerasan berlebihan, apakah berlaku pelanggaran hak asasi manusia terhadap orang atau orang-orang, dan siapakah yang bertanggungjawab melakukannya.
Mengesyorkan apakah tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab melanggar hak asasi manusia itu.
Suhakam difahamkan telah merakamkan 35 kenyataan daripada pihak polis, wartawan dan para saksi.
Dalam kejadian pada 28 Mei lalu, seorang mekanik, Chang Jiun Haur dilaporkan ditendang berulangkali oleh kira-kira anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang bersenjatakan cota.
Chang, adik perempuannya dan dua oang lagi rakannya sedang hendak beredar dari kawasan benteng yang dbina untuk menutup jalan pintas di situ pada kira-kira jam 11.30 malam, apabila kereta mereka dikepung oleh anggota polis yang sedang mengawal penduduk yang membantah pembinaan benteng tersebut.
Seorang pagawai tinggi polis yang berada di tempat kejadian mendakwa, Chang telah melanggar seorang anggota FRU dengan keretanya.
Chang telah didakwa atas tuduhan memandu secara berbahaya di bawah seksyen 42, Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau minta dibicarakan dan dibebaskan dengan ikatjamin sebanyak RM3,000 menunggu perbicaraan pada 7 Ogos depan.
Ketika itu, penduduk BMC membantah tindakan syarikat konsesi lebuhraya Grand Saga membina benteng tersebut untuk menutup jalan pintas yang digunakan mereka untuk mengelak membayar tol di lebuhraya Cheras-Kajang.
Pada 30 Mei lalu, kerajaan pusat mengarahkan syarikat konsesi tersebut membuang benteng berkenaan dan membuka semula jalan pintas di situ untuk kegunaan penduduk.
Ini merupakan siasatan awam yang keenam yang diadakan oleh Suhakam sejak penubuhannya pada 2000. Lima siasatan awam sebelum ini ialah:
Insiden lebuhraya Kesas (2001).
Keadaan tahanan ISA (2002)
Dakwaan kekerasan polis terhadap penduduk Kundasang, Sabah (2004)
Kematian S Hendry semasa dalam tahan polis (2006)
Dakwaan keganasan polis ketika meleraikan orang ramai ketika insiden "Ahad Berdarah" (2006)

