Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Raja bukan 'buta, pekak, bisu'
Diterbitkan:  Jul 21, 2008 5:18 PM
Dikemaskini: 3:36 PM

Raja-raja Melayu mempunyai peranan penting dalam urusan negara bukan sekadar pelengkap adat-istiadat semata-mata kerana "mereka bukannya daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan", titah Raja Muda Perak.

Pandangan berterus-terang Raja-raja berhubung isu-isu perpaduan warga, peranan agama, kebebasan kehakiman serta rasuah dan penyalahgunaan kuasa berdasarkan hasrat memastikan negara terus kukuh dan aman, dan rakyat terus sejahtera dan makmur, titah Dr Nazrin Shah.

"Segala perkara yang berlaku adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran dan pertuturan mereka," titah Raja Nazrin dalam pidatonya 'Institusi Beraja' di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Bukit Kiara hari ini.

Baginda bertitah, setelah 50 tahun usia kemerdekaan negara, Raja-raja Melayu telah mencapai satu tahap kematangan dengan memahami peranan terutamanya ketika negara menghadapi krisis.

Bagaimanapun, demi memastikan takhta kekal dihormati, Raja-raja harus berkecuali dan memisahkan diri daripada terlibat dalam sebarang kancah pertelingkahan politik kepartian serta menjauhkan diri daripada dijadikan instrumen pihak-pihak yang bersaing mendapatkan kuasa politik, titah baginda lagi.

"Selaras dengan semangat Raja Berpelembagaan yang biasa diamalkan, peranan Raja adalah memerintah dan bukan mentadbir. Raja hendaklah berada di atas segala urusan politik dan urusan pentadbiran harian yang melibatkan banyak kerenah dan pelbagai kontroversi.

"Dengan berada di takhta yang lebih tinggi, Raja hanya terlibat pada waktu dan ketika yang diperlukan," titah Raja Nazrin.

Perlembagaan negara, menurut baginda, memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja memiliki budi bicara yang boleh digunakan menurut prerogatif Raja Pemerintah tertakluk kepada batasan tertentu.

"Budi bicara Raja Pemerintah merangkumi kuasa melantik perdana menteri di peringkat Persekutuan dan melantik menteri besar di peringkat negeri, hak tidak memberi perkenan membubarkan Parlimen di peringkat Persekutuan dan Dewan Undangan Negeri di peringkat negeri.

"Dalam urusan lantikan perdana menteri demikian juga menteri besar, budi bicara Raja Pemerintah tidaklah mutlak. Baginda berada dalam kedudukan berhak memastikan siapakah yang telah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

"Budi bicara Raja menjadi sangat penting apabila berlaku keadaan tergantung disebabkan tidak ada parti yang menguasai majoriti keanggotaan Dewan Rakyat ataupun Dewan Undangan Negeri atau apabila kerajaan campuran mahu ditubuhkan," titah baginda, lapor Bernama .

ADS