Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hujah kes saman Tuanku Ja'afar 11 Ogos
Diterbitkan:  Jul 22, 2008 9:55 PM
Dikemaskini: 3:16 PM

Peguam yang mewakili kedua-dua pihak dalam tuntutan saman oleh sebuah bank terhadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan atas dakwaan gagal melunaskan AS$1 juta, akan mengemukakan hujahan masing-masing pada 11 Ogos depan.

Mahkamah Khas, yang ditubuhkan bagi mendengar kes melibatkan kerabat diraja, menetapkan tarikh itu selepas mendengar keterangan daripada enam saksi semalam dan hari ini.

Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, dinamakan sebagai defendan dalam saman itu, turut mengemukakan saman balas terhadap bank itu,Standard Chartered Bank Malaysia Berhad (SCBMB), dan memohon diisytiharkan yang bank itu tidak berhak untuk menggunakan simpanan tetap baginda untuk melangsaikan US$1 juta (AS1=RM3.24) itu.

Kedua-dua saman difailkan pada 2005 di Mahkamah Khas di Putrajaya, demikian menurut laporan Bernama.a

Perbicaraan didengar panel lima hakim terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid mohamad, Hakim Besar Malaya Tan Sri Alaudin Mohd Sheriff, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Arifin Zakaria dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin.

Hari ini, mahkamah mendengar keterangan setiausaha kewangan Tuanku Ja'afar, Datuk Hari Menon, yang merupakan saksi tunggal defendan.

Semalam, bank itu memanggil lima saksi -- Soh Chee Seng, Mohd Taufik Syed Abu Bakar, Azizan Ahmad, Azhari Awang Ahmad dan Soo Yan Zheng. Beberapa daripada mereka ialah pegawai kanan bank itu.

Kemudahan pembankan

Bank itu diwakili peguam Robert Lazar, N.Rabindra dan Nad Segaram manakala Datuk Cyrus Das, K.Mohan, Kevin Prakash dan Shamsul Bahrin Manaf mewakili Tuanku Ja'afar.

Saman itu dikemukakan selepas Tuanku Ja'afar, pada atau sekitar 12 Februari 1999, memohon kemudahan perbankan bagi pengeluaran Surat Kredit Tunggu Sedia (SBLC) menerusi SCBMB bernilai US$1 juta untuk disampaikan kepada Connecticut Bank of Commerce (CBC) di Amerika Syarikat untuk dibayar kepada syarikat Texas Encore LLC (TEC) yang beribu pejabat di Michigan, AS.

Pada ketika itu, Tuanku Ja'afar ialah Yang di-Pertuan Agong ke-10.

TEC, syarikat pengeluar tayar getah, akan menggunakan wang itu untuk membina dan mengusahakan kilang dalam kawasan Ford Motors di Detroit, Michigan.

Dalam pernyataan tuntutan, bank itu memohon bayaran AS$999,772.44, komisen pada kadar 0.12 peratus sebulan mengikut akujanji SBLC, bank itu diisytiharkan berhak melangsaikan amaun di atas secara tolak selesai dan yuran komisen terhadap simpanan tetap itu mengikut Surat Tolak Selesai, faedah, kos dan faedah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Bank itu yang terletak di Menara Standard Chartered di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, menyaman Tuanku Ja'afar selepas defendan gagal mematuhi akujanji dalam Permohonan Kredit Berdokumen (DCA).

Penyataan tuntutan

Dalam pernyataan tuntutan itu, bank itu berkata defendan dalam DCA tertakluk kepada akujanji untuk menanggung kerugian bank ekoran pengeluaran surat kredit itu.

Bagaimanapun, Tuanku Ja'afar, dalam pernyataan pembelaan dalam saman baginda terhadap bank itu, mendakwa selepas pengeluaran surat kredit tidak boleh dimansuh SBLC, TEC tidak memaklumkan kepada baginda selama beberapa bulan kemajuan projek pembinaan kilang TEC itu.

Baginda tidak berpuas hati dengan kelembapan kemajuan projek TEC itu dan menerusi surat bertarikh 6 April 1999, meminta surat kredit tidak boleh dimansuh itu digantung.

Tuanku Ja'afar menegaskan wakil peribadi baginda, Datuk Hari Menon, telah membincangkan perkara itu dengan bank dan dinasihatkan bahawa surat kredit tidak boleh dimansuh SBLC itu tidak boleh dibatalkan kecuali dengan kebenaran CBC selaku benefisiari.

Menurut baginda, SCBMB telah memaklumkan mengenai notis pembatalan itu kepada bank AS itu melalui telex.

ADS