Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Simpang Empat: Mahkamah tolak petisyen BN
Diterbitkan:  Jul 23, 2008 2:31 PM
Dikemaskini: 6:37 AM

Mahkamah Pilihanraya hari ini menolak dengan kos, petisyen pilihanraya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Simpang Empat, yang dikemukakan oleh bekas ahli Exco kerajaan negeri Perlis, Zahari Bakar, berkaitan penggunaan poster dan lambang negeri Perlis semasa kempen pilihanraya.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani ketika membacakan keputusan petisyen itu di Kangar hari ini berkata, pempetisyen yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kawasan Simpang Empat, gagal membuktikan dengan memuaskan mengenai kesalahan pilihanraya berkaitan poster itu.

Pada 28 April lalu, Zahari, 53, memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan pilihanraya 8 Mac itu dengan alasan responden mempamerkan poster yang tidak mempunyai nama dan alamat pencetak serta penerbit, selain penggunaan lambang negeri pada poster itu semasa tempoh kempen.

Menurut laporan Bernama, dalam pilihanraya umum ke-12 itu, Zahari tewas kepada Rus'sele Eizan dengan majoriti 53 undi, apabila beliau memperolehi 2,825 undi dan Rus'sele mendapat 2,878 undi.

Zainal Adzam berkata alasan penolakan petisyen itu ialah pempetisyen gagal membuktikan dengan memuaskan, pihak mana yang terbabit dengan pengeluaran poster itu, dan mereka yang terbabit memasangnya.

"Tiada bukti jelas siapa yang memasang poster dan tiada rakaman gambar atau video yang menunjukkan pihak yang melakukannnya. Ada keraguan di sini," katanya.

Gagal buktikan

Katanya sekeping poster yang dijadikan bukti ditandakan dengan ID, sedangkan ia sepatutnya ditandakan sebagai P kerana ia merupakan bukti dan keterangan utama bagi kes itu.

Mengenai penggunaan lambang negeri Perlis, Zainal Adzam berkata ia bukan satu kesalahan kerana larangan itu hanya tercatat dalam buku panduan pilihanraya dan tidak termaktub dalam undang-undang.

Menurutnya, pempetisyen yang diwakili peguam Abu Bakar Sidek, juga gagal membuktikan dengan memuaskan terhadap penggunaan lambang negeri Perlis.

Rus'seli diwakili Aqbal Shiffuddin Adnan Salehuddin, Zulmi Sabri dan Mohamed Hanipa Maidin.

Sementara itu, Zahari dan Rus'seli kelihatan bersalaman dalam mahkamah sebaik sahaja Zainal Adzam membuat keputusan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS