Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menegaskan perlunya alim ulama dan kalangan intelektual untuk berhubung dengan orang ramai secara meluas.

Katanya, ia tidak mencukupi dengan hanya menghasilkan kerja-kerja intelek dan membentangkan kertas kerja dalam seminar.

Sebaliknya, kata beliau, mereka perlu bersedia mendidik masyarakat mengenai isu-isu besar yang sedang dihadapi sekarang.

Para pemikir dan penyelidik juga, kata Abdullah, boleh memainkan peranan mereka untuk memberi kefahaman agama kepada orang ramai dan meningkatkan keadilan dan keamanan.

Perdana menteri menegaskan demikian ketika merasmikan persidangan antarabangsa mengenai agama dalam keadilan global dan keamanan, di ibunegara hari ini.

Dalam ucapannya, Abdullah berkata, ramai individu dan kumpulan yang menyalahgunakan nama Tuhan dan agama untuk menghalalkan keganasan.

Katanya, perbuatan melampau seumpama itu telah banyak kali berlaku dalam sejarah di mana ajaran agama dimanipulasi untuk kepentingan agama, tujuan politik dan keuntungan peribadi.

"Ia telah menjadi salah satu cabaran yang terbesar kepada kita di mana saya percaya ia tidak boleh diselesaikan tanpa ajaran agama yang tulen.

"Dalam zaman kita, kita telah menyaksikan banyak ketidakadilan dilakukan di atas nama agama, termasuk penaklukan wilayah orang lain dan seterusnya diikuti dengan perampasan," katanya.

Peranan media

Berikutan itu, Abdullah berkata, adalah perlu dilihat secara lebih dekat pengajaran agama di sekolah dan universiti.

Katanya, ini kerana pendidikan agama seharusnya berpaksikan kepada nilai dan prinsip untuk menimbulkan rasa hormat kepada agama.

"Pendidikan agama kita seharusnya menjurus kepada integriti kepada semua dan saling hormati menghormati," katanya lagi.

Beliau juga menegaskan bahawa wujud keperluan untuk menggemblengkan peranan media dalam menyebar dimensi agama secara universal dan insklusif yang memfokus kepada keadilan dan keamanan.

"Para wartawan dan pengamal media secara umum perlu mendalami dan memperluas kefahaman mereka tentang agama, bagi memainkan peranan lebih berkesan dalam mengembangkan nilai universal mengenai keadilan, keamanan dan kasih sayang yang terdapat pada falsafah kita yang agung," katanya.