Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Pahang, K'tan sokong MB T'ganu
Diterbitkan:  Jul 24, 2008 9:21 AM
Dikemaskini: 1:07 PM

Dua orang lagi menteri besar di negeri Pantai Timur - Pahang dan Kelantan - bersetuju dengan kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said bahawa kos penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Eksekutif adalah lebih mahal daripada Mercedes.

Sambil memberi contoh kereta Mercedes yang digunanya sejak era Menteri Besar terdahulu, Tun Khalil Yaakob, iaitu sejak berbelas tahun lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kos penyenggaraan kereta itu untuk tahun lalu ialah RM42,000.

adnan yaakob adnan yaakub Sebaliknya, kata beliau, ada antara kos penyenggaraan Proton Perdana yang diguna ahli exco kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu, mencecah RM57,500 setahun, demikian menurut laporan Bernama.

"Dari segi hakikatnya, menteri besar Terengganu betul apabila menyatakan kos penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Eksekutif lebih tinggi daripada Mercedes," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.

Adnan berkata, dari sudut praktikal memang sukar menggunakan kereta yang mempunyai kuasa enjin rendah terutama bagi perjalanan ke destinasi yang jauh.

Beliau bagaimanapun mengambil langkah tidak menyokong mahupun menentang keputusan pembelian 14 kereta Mercedes E200 kerajaan negeri Terengganu itu.

"Segala keputusan yang hendak dibuat pada masa kini sepatutnya mengambil kira situasi semasa dan kehendak rakyat. Sekarang rakyat lebih suka macam saya (Menteri Besar) naik kereta Kancil atau motosikal pun boleh (jika ke lokasi dekat)," katanya.

Beliau menegaskan kerajaan negeri Pahang akan mengambil keputusan untuk mengikut arahan dan keputusan yang ditetapkan kerajaan pusat berhubung pemakaian kereta nasional walaupun ia boleh dipertikai.

Banyak masalah

Sementara itu, Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini melahirkan pendapat yang sama dengan Ahmad iaitu penggunaan kereta Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi negeri banyak menimbulkan masalah.

nik aziz Beliau berkata kerajaan negeri Kelantan sendiri mendapati kos penyenggaraan kereta nasional itu lebih tinggi berbanding kenderaan yang diimport selain sering mengalami kerosakan.

Walaupun tidak bercadang untuk menukar kenderaan rasmi kepada kereta lain termasuk kereta import, Nik Aziz berkata apa yang dikatakan oleh Menteri Besar Terengganu mengenai kereta Proton Perdana memang berasas.

"(Kerajaan negeri) Kelantan kami pun pakai Perdana selain Mercedes lama,

ada sedikit kelonggaran kita bagi. Ini kerana sama dengan yang Menteri Besar Terengganu sebut, kereta Perdana ni masalah penyenggaraan dialah.

"Rosak sokmo (sering rosak). Kadang-kadang cermin tak boleh naik, kadang-kadang nak tutup tak boleh sedangkan baru keluar dari kilang," katanya kepada pemberita hari ini.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS sebelum itu merasmikan masjid Taqaddum Ilmi di Sekolah Menengah Agama Taqaddum Ilmi, Ketereh.

Beliau mengulas isu kerajaan negeri Terengganu membeli 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi baru Menteri Besar, anggota exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu.

ADS