Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kesemua 13 cawangan Umno dalam bahagian Pengerang yang telah bermesyuarat setakat ini mencalonkan Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said bertanding jawatan ketua bahagian.

Ketua bahagian sekarang ialah Harun Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Selat.

Azalina pula merupakan naib ketua bahagian Pengerang.

Harun telah mengumumkan akan mempertahankan jawatannya. Umno bahagian Pengerang mempunyai 33 cawangan.

Calon bagi jawatan ketua bahagian memerlukan 20 peratus daripada jumlah cawangan, timbalan ketua (15%), naib ketua (10%) dan ahli jawatankuasa (2 cawangan).

Manakala bagi bahagian yang mempunyai lebih daripada 150 cawangan, mencukupi bagi seseorang calon itu mendapat sokongan sekurang-kurangnya 30 cawangan bagi jawatan ketua, 20 cawangan (timbalan ketua), dan 10 cawangan bagi naib ketua.

azalina othman 02 Seorang ketua cawangan yang dihubungi Malaysiakini hari ini berkata cawangan-cawangan berkenaan telah mencalonkan Azalina kerana ahli-ahli dimahukan perubahan dalam pucuk pimpinan bahagian.

Tidak sehaluan

"Kami sepakat mahukan muka baru menerajui bahagian ini. Dan orang yang paling layak menjadi ketua bahagian Pengerang ialah Azalina.

"Selama ini kepimpinan antara bahagian dengan Parlimen tidak sehaluan menyebabkan banyak program di Pengerang tidak berjaya," katanya.

Sebagai contoh, katanya, apabila ada program yang membabitkan Azalina, ketua bahagian tidak memberi kerjasama.

Begitu juga sebaliknya, kata beliau, apabila terdapat program anjuran Harun, ia tidak disertai oleh Azalina.

Setakat ini kesemua 13 cawangan terbabit mencalonkan Mohamad Long untuk mengekalkan jawatannya.

Bagaimanapun, Malaysiakini difahamkan, ada di kalangan baki 20 cawangan yang belum bermesyuarat, akan mencalonkan seorang calon baru untuk jawatan timbalan.

Mohamad dikatakan sehaluan dengan Harun, manakala calon baru itu adalah penyokong Azalina.

Peluang cerah

Pemimpin berkenaan berkata, pertarungan antara Azalina dan Harun sudah tidak dapat dielakkan.

"Azalina sudah sebut beberapa kali beliau bertanding atas kehendak ahli manakala Harun pula mahu menjaga maruahnya.

"Nampaknya pertarungan dua gergasi bahagian ini tidak dapat dielakkan lagi," katanya.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan pencalonan daripada 13 cawangan setakat ini, peluangnya berpihak kepada Azalina.

Katanya, ini mungkin kerana jawatan menteri pelancongan memberi kelebihan kepada Azalina.

"Ada kemungkinan Azalina akan menang mudah kali ini kerana rata-rata orang mahukan menteri itu mengetuai bahagian Pengerang," katanya lagi.

Beberapa cawangan lagi akan mengadakan mesyuarat hujung minggu ini manakala semua cawangan akan berbuat demikian sebelum atau pada 3 Ogos.

ADS