Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS-Umno: Amaran Azizan kepada DAP
Diterbitkan:  Jul 28, 2008 9:55 PM
Dikemaskini: 3:57 PM

Menteri besar Kedah memberi amaran kepada DAP berhubung sikap rakannya itu dalam Pakatan Rakyat yang menghendaki keanggotaan parti Islam dinilai semula susulan berunding dengan Umno.

Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata PAS tidak akan mengikut telunjuk pihak lain dalam perjuangannya dan DAP "tiada hak menghalang atau menentukan tindak-tanduk PAS", lapor Bernama.

"PAS, DAP dan PKR hanya bekerjasama sebagai satu Pakatan Rakyat untuk menghadapi BN dalam pilihanraya lepas, bukan gabungan macam BN," katanya.

"Malaysia adalah negara bebas dan mengapa kita mesti mengikut telunjuk orang," katanya, yang juga pesuruhjaya PAS negeri, mengulas kenyataan pengerusi DAP Karpal Singh semalam.

Azizan berkata Karpal tidak berhak mempertikai tindakan PAS atau meminta parti itu merujuk DAP atau Pakatan jika ingin berbincang dengan Umno.

"Karpal sendiri pernah menyatakan langkah mayat dia dulu kalau mahu Pakatan Rakyat berunding dengan Umno. PAS sudah melaksanakannya. Sekarang terpulang kepada dia (Karpal untuk tindakan lanjut)," Azizan sebagai berkata.

Tambahnya, PAS menyambut baik usaha perdana menteri dan juga presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk bermuzakarah kerana PAS telah lama berharap usaha murni itu menjadi kenyataan.

"Cerita PAS mengajak Umno bermuzakarah bukan baru, jadi tiada apa yang perlu dirisaukan oleh parti dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Menurut agensi berita itu lagi, menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan perbezaan PAS dan DAP itu sebagai "masalah politik yang biasa" dalam setiap parti politik.

Beliau, yang juga ketua perhubungan PKR, berkata pergeseran dan perbezaan pendapat bukan sahaja berlaku dalam Pakatan tetapi juga wujud antara komponen-komponen BN.

"Masalah politik ini adalah masalah biasa, dalam Umno pun ada masalah politik, dalam Pakatan Rakyat pun ada perbezaan pendapat tetapi akhirnya tujuan mereka jalankan usaha politik ialah untuk kebajikan rakyat.

"Kalau tidak, buat apa mereka masuk politik," katanya, seperti dilaporkan.

Ditanya sama ada beliau berpendapat tindakan PAS mengadakan pertemuan dengan Umno itu bukan satu kesalahan, Abdul Khalid menjawab:

"Tak ada, ini politik... saya rasa ia (PAS) akan cuba nilai keadaannya tetapi bagaimanapun kepimpinan PAS, PKR dan DAP menyatakan bahawa Pakatan Rakyat adalah mantap."

ADS