Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 5:27pm Isu pertemuan PAS dan Umno terus menghantui barisan pemimpin atasan PAS dalam mesyuarat jawatankuasa pusat bersama majlis syura ulama parti itu esok.

Beberapa pemimpin parti itu yang enggan dinamakan memberitahu Malaysiakini , perkara tersebut akan ditimbulkan sewaktu perbincangan isu-isu semasa.

Mesyuarat itu juga dipanggil sendiri oleh presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata sumber-sumber dalaman parti itu.

Menurutnya lagi, mesyuarat akan diadakan di ibu pejabat parti di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur bermula jam 10.00 pagi.

Dalam perkembangan berkaitan, mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau melihat penting menjayakan muqabalah antara parti itu dan Umno, lapor Bernama .

Mengulas tawaran Umno untuk membentuk kerajaan campuran dengan PAS di Perak, Nik Aziz berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat esok.

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali berkata, parti itu akan mengadakan "mesyuarat khas" bagi membincangkan isu-isu terkini mengenai parti itu seperti sering berbangkit di media.

"Untuk mencari jalan menyelesaikan rasa ragu dan mungkin marah di kalangan masyarakat mengenai isu pertemuan antara PAS dan Umno.

"Rancangan mengadakan mesyuarat khas itu telah dibuat sejak 10 hari lalu," katanya lagi.

Dihubungi untuk mengesahkan isu tersebut, setiausaha agung PAS Datuk Kamarudin Jaafar berkata, mesyuarat tersebut memang turut membincangkan isu-isu semasa di samping agenda utama.

"Kita memang biasa membincangkan isu-isu semasa dalam mesyuarat (jawatankuasa pusat)," katanya.

Ditanya sama ada isu muqabalah PAS-Umno akan turut dibincangkan, beliau berkata "rasanya tidak."

Tambahnya, isu itu "tidak ada kontroversi lagi" dalam PAS.

"Perkara itu timbul apabila media memainkannya," kata Kamarudin.

Beliau bagaimanapun menafikan pertemuan itu merupakan mesyuarat khas membincangkan isu pertemuan sulit PAS-Umno, sebaliknya mesyuarat bulanan biasa yang diadakan lebih awal kerana parti itu akan mengadakan muktamar pertengahan bulan depan.

"Itu mesyuarat biasa. Biasanya kita buat Ahad kedua setiap bulan. Tetapi mengikut tarikh itu, 10 haribulan (Ogos) saya rasa, (tarikh itu) terlalu dekat dengan muktamar," katanya.

Kamarudin berkata, agenda utama mesyuarat esok bertujuan membincangkan persiapan muktamar agung parti tidak lama lagi.

PAS dijadualkan mengadakan muktamar 13 Ogos depan di Ipoh, Perak.

Beliau menafikan mesyuarat esok adalah rentetan pertemuan majilis syura ulama minggu lalu seperti dilaporkan oleh sebuah media web.

Minggu lalu, tujuh daripada 13 anggota anggota majlis syura, termasuk Abdul Hadi dan timbalannya Nasharuddin Mat Isa dilaporkan berbincang tentang isu itu di kediaman rasmi menteri besar Kelantan di Kota Bharu.

ADS