Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Aziz: Hudud, qisas jika PAS-Umno bersatu
Diterbitkan:  Jul 30, 2008 6:39 AM
Dikemaskini: 6:42 AM

Pelaksanaan hukum Hudud dan Qisas menjadi satu daripada cadangan bagi PAS jika pergabungan antara parti itu dan Umno menjadi satu realiti, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Namun, bagi Menteri Besar Kelantan itu, cadangan pelaksanaan undang-undang itu yang mengikut lunas syariat Islam, akan dilakukan kemudian, selepas muqabalah (pertemuan) antara pemimpin kedua-dua parti mencapai persetujuan yang membawa kepada penubuhan satu entiti parti politik yang baru.

Sejajar dengan semangat muqabalah untuk membincangkan masa depan umat Islam di negara ini, beliau berkata perkara pertama yang perlu dilakukan adalah kerjasama Umno-PAS dalam membentuk parti baru perlu berlandaskan kepada Islam, termasuk melaksanakan hukum Hudud sebagaimana ditetapkan oleh agama.

nik aziz "Yang membimbangkan saya bila kerjasama itu berlaku, ada pihak yang cuba mensabotajkan parti (gabungan PAS-Umno) dengan menganjurkan calon bebas yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan Islam mengikut syariatnya bagi melawan calon kita," katanya dalam laporan Bernama.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan kempen derma bagi kerja-kerja mengubahsuai masjid Baraah di pusat bandar Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz berkata berlandaskan semangat demokrasi di negara ini, semua pihak termasuk Umno, kaum Cina dan India boleh mengadakan perbincangan serta mengeluarkan hujah mereka untuk lebih memahami Islam dan syariatnya.

"Saya hendak benar kalau orang Cina dan India kata dia tidak mahu kepada Islam. Di mana tidak kena dengan Islam, boleh tolong beritahu, kita boleh berbincang" katanya.

Namun, katanya, bagi beliau perkara yang paling penting adalah memastikan muqabalah antara PAS dan Umno dapat dijayakan terlebih dahulu untuk membincangkan masa depan umat Islam.

Mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali yang menawarkan kepada PAS untuk bergabung bagi menubuhkan kerajaan di negeri itu sebagai simbol perpaduan politik Melayu dan Islam, Nik Aziz berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur esok.

ADS