Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini meluluskan usul yang mahu kerajaan persekutuan memberikan RM4.7 bilion kepada kerajaan Pulau Pinang sebagai ganti kerana tidak meneruskan tiga

projek mega di negeri itu.

Seramai 29 anggota menyokong manakala kesemua 11 wakil pembangkang daripada Barisan Nasional menolak usul itu yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng semalam.

Ketua Pembangkang Datuk Azhar Ibrahim (BN-Penaga) berkata wakil BN tidak menyokong usul itu kerana jumlah wang yang dituntut tidak munasabah.

"Kami menolak usul itu kerana jumlah wang yang dituntut tidak betul, bukan kami tak sayangkan projek-projek itu," katanya kepada pemberita, demikian menurut laporan Bernama.

Azhar berkata mengikut perkiraan, jumlah wang yang dibiayai kerajaan jika ketiga-tiga projek itu dilaksanakan ialah RM494 juta dan selebihnya dibiayai pihak swasta.

"Mereka bermain politik bertujuan memberitahu rakyat bahawa kerajaan pusat tidak mahu beri bantuan kepada kerajaan negeri," katanya.

Datuk Seri Dr Hilmi Yahya (BN-Teluk Bahang) berkata sikap kerajaan negeri yang terlalu mendesak kerajaan pusat untuk mendapatkan bantuan boleh membawa implikasi buruk kepada rakyat Pulau Pinang.

"Kerajaan negeri terlalu mendesak. Kalau buat macam tu, mungkin kerajaan pusat akan batalkan apa yang nak mereka berikan (sedangkan) apa yang nak diberikan mungkin akan dipertimbangkan semula," katanya.

Beliau berkata memandangkan Pulau Pinang mempunyai sumber pendapatan yang terhad, kerajaan negeri perlu berbaik-baik dengan kerajaan pusat untuk mendapatkan bantuan kewangan.

Semalam ketika membentangkan usul itu, Lim meminta kerajaan pusat membayar RM4.7 bilion kepada kerajaan negeri jika tiga projek iaitu monorel, Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) dan Empangan Mengkuang tidak dilaksanakan.

Persidangan Dewan itu ditangguhkan hari ini ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.