Siasatan berhubung dakwaan berlakunya salahguna kuasa dalam kutipan derma sempena sambutan 100 hari kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah diselesai.

Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Ja'afar Mahad berkata kertas siasatan itu telah dihantar ke Bahagian Pendakwaan Ibu pejabat BPR di Putrajaya, dua minggu lalu untuk tindakan lanjut.

BPR menjalankan siasatan selepas timbulnya isu kepala surat Pejabat Menteri Besar Selangor digunakan dalam surat yang dihantar kepada syarikat-syarikat untuk mengutip derma.

Ia juga ekoran dakwaan Dewan Pemuda PAS bahawa kutipan derma itu dimasukkan ke dalam akaun Parti Keadilan Rakyat (PKR), demikian menurut laporan Bernama.

Ja'afar berkata, BPR Selangor juga menerima laporan daripada bekas Ketua Angkatan Muda PKR Mohamad Ezam Mohd Nor berhubung dakwaan yang sama.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menyampaikan hadiah kepada -pemenang Pertandingan Pidato Pencegahan Rasuah Prauniversiti peringkat negeri Selangor 2008 di Shah Alam hari ini.