Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Othman Desa tanding ketua Umno Sik
Diterbitkan:  Jul 31, 2008 11:31 AM
Dikemaskini: 8:30 AM

Datuk Othman Desa, bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang tewas dalam pilihanraya umum lalu bagi kerusi Parlimen Sik, kali ini mahu bertanding pula jawatan ketua Umno bahagian berkenaan.

Katanya, tujuan beliau bertanding merebut jawatan tersebut adalah bagi membolehkannya berkhidmat kepada penduduk kawasan itu menerusi Umno setelah tewas dalam pilihanraya lalu.

Othman berkata, memandangkan kawasan tersebut menjadi kubu pembangkang, maka Umno memerlukan kepimpinan seorang yang mempunyai hubungan di peringkat nasional.

Dalam pilihanraya umum lalu, Othman kalah tipis kepada calon PAS, Che Uda Che Nik. Othman mendapat 16,383 undi manakala Che Uda memperolehi 16,864 undi.

"Saya mempunyai pengalaman berkhidmat di bawah Perdana Menteri dan akan

menggunakan hubungan baik dengan semua agensi kerajaan pusat untuk kepentingan rakyat Sik," katanya kepada Bernama hari ini.

Othman berkata, setelah tewas dalam pilihan raya umum lalu, beliau kini memilih untuk menerajui Umno supaya hasratnya membantu penduduk Sik akan

tercapai.

Penyandang jawatan tersebut, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Tan Sri Abdul Hamid Osman, telah mengumumkan berundur dari politik baru-baru ini.

Othman berkata majoriti rakyat Sik adalah golongan miskin dan memerlukan pembelaan kerajaan persekutuan, dan sebagai seorang yang berpengalaman bekerja di peringkat pusat, beliau akan membantu rakyat di kawasan itu menerusi Umno.

Bahagian Sik mempunyai 130 cawangan, dan setakat ini Othman memperoleh 10 pencalonan daripada 37 cawangan yang telah bersidang.

"Saya yakin anggota Umno Bahagian Sik telah matang untuk memilih pemimpin mereka bagi menggantikan Tan Sri Hamid Osman dan saya telah mula berkhidmat untuk rakyat Sik sejak bekerja di bawah Tan Sri lagi," katanya.

Yang turut menyatakan hasrat bertanding jawatan itu ialah Ketua Pemuda Umno Bahagian Sik, Tajuddin Abdullah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Belantek.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS