M'sia-Indonesia wujud TV ala al-Jazeera
Malaysia dan Indonesia akan mewujudkan saluran televisyen serantau seperti Al-Jazeera yang akan menyiarkan saluran berita dari RTM dan TVRI mulai bulan ini.
Menteri penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata ia telah dibincangkan dengan menteri komunikasi dan infomatika Indonesia bulan lepas, lapor Bernama .
RTM juga sanggup menambah peruntukan untuk menghantar kakitangan stesen itu menjalani latihan bagi meningkatkan mutu penyampaian beritanya, tambahnya pada bengkel Berita TV di Angkasapuri malam tadi.
Bengkel itu dianggotai bekas pensyarah komunikasi prof Datuk Dr Hamdan Adnan, bekas pensyarah pengajian media Dr Mahadi J Murat dan pengurus kanan perkhidmatan audio visual Bernama TV Ahmat Abdul Wahab.
Ahmad Shabery, yang bertindak sebagai moderator bengkel itu, berkata sudah tiba masanya Malaysia mempunyai saluran berita seperti Al-Jazeera.
"Sebagai contoh apabila berlaku gempa bumi di Pulau Nias, kita menunggu berita CNN sedangkan kita ada kebolehan untuk buat semua itu," beliau dipetik sebagai berkata.

