Isu pengawal kasari siswa UM ke NC
kemaskini 7:18pm Insiden kekasaran sekumpulan pengawal keselamatan Universiti Malaya terhadap seorang pelajar sarjana dan teman lelakinya kelmarin akan diadukan kepada naib canselornya Datuk Rafiah Salim minggu depan.
"Surat itu akan dihantar pada hari Isnin," kata Ng Yong Jin, kekasih Cheah Xun Yuan yang mengambil pengajian Sejarah Asia Tenggara.
Ng juga bercadang meminta penjelasan daripada Rafiah alasan beliau "disenaraihitamkan" oleh UM seperti didakwa oleh pengawal keselamatan.
Ng, seorang pemimpin Gerakan Demokratik Belia dan Mahasiswa Malaysia (Dema), sewaktu kejadian sedang menunggu Cheah ke perpustakaan kira-kira jam 3 petang.
Ng, seorang graduan Universiti Putra Malaysia (UPM), mendakwa mereka berdua "dimarahi dan dihalang meninggalkan tempat berkenaan" oleh enam atau tujuh orang pengawal keselamatan yang tidak berpakaian seragam.
Cheah pula didakwa ditolak oleh seorang pengawal keselamatan sewaktu sedang bercakap dengan mereka berhubung kehadiran Ng di situ, manakala seorang lagi pelajar yang merakamkan kejadian itu dikatakan dikepung dan dipaksa memadamkan rakaman tersebut.
Insiden itu dipercayai berpunca daripada tindakan kumpulan pengawal keselamatan tersebut yang mempersoalkan kehadiran Ng di kampus itu kerana beliau dikatakan telah "disenaraihitamkan" di Universiti Malaya.
Dema dalam satu kenyataan semalam mendakwa pengawal keselamatan meminta Ng berjanji tidak masuk semula ke kampus itu sebagai syarat untuk membebaskannya.
Mengulas kemungkinan beliau "disenaraihitamkan" kerana terbabit dengan Dema, Ng berkata "tidak tahu".
Cheah, menurutnya, bukan ahli pertubuhan belia dan mahasiswa itu.
Kejadian kelmarin juga dipercayai susulan kehadiran Ng bersama dua rakannya, juga pemimpin Dema, pada 27 Julai yang cuba mengedar bahan promosi satu program Dema, sebuah perkumpulan pelajar yang aktif dalam politik kampus dan lantang menentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Mereka bertiga dikepung lebih kurang 15 anggota pengawal keselamatan atas alasan mengedarkan risalah tanpa kebenaran di kolej kediaman kedua.
Ketegangan muncul apabila mereka enggan membenarkan pengawal-pengawal keselamatan itu, termasuk seorang yang dikenali Zulkeeflee, memeriksa beg mereka.
Seperti kejadian kedua, insiden pertama ini dapat diselesaikan apabila anggota polis sampai di tempat kejadian.
Zulkeeflee juga hadir dalam insiden dekat perpustakaan pada 30 Julai.
Usaha Malaysiakini mendapatkan pengesahan daripada pengarah keselamatan universiti itu Mohd Ismail Hashim atau pegawai-pegawainya masih belum berhasil.

