BERITA Malaysiakini

Pirdaus: Sukar bagi calon BN, PKR

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Datuk Pirdaus Ismail, calon BN yang tewas dua kali di Permatang Pauh, berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menang mudah apabila bertanding pada pilihan raya kecil tidak lama lagi.

Pirdaus menambah, peluang mana-mana calon untuk memenangi kerusi itu sukar diramal berikutan perubahan senario politik di Pulau Pinang selepas pilihanraya umum 8 Mac lepas.

"Kenapa saya katakan tidak mudah bagi Anwar, dan juga sukar kepada BN adalah kerana dahulu kita (BN) memerintah negeri ini.

"Mereka menilai kita dan jadi pembangkang. Sekarang ini mereka jadi kerajaan dan kita pula menilai mereka dan jadi pembangkang.

"Saya yakin rakyat tahu apa yang terbaik untuk mereka dan Umno telah bersiap sedia. Pilihan raya kali ini bukan satu perkara mudah.

bm version permatang pauh election results 310708 "Rakyat menilai mereka dan rakyat juga menilai kita," kata cxco Pemuda Umno itu kepada Bernama .

Penyandang kerusi itu dan juga presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berundur semalam bagi memberi laluan kepada penasihat parti dan suaminya Anwar.

Permatang Pauh merupakan kerusi tradisi Anwar selama 17 tahun sejak memenanginya pada 1982 atas tiket BN.

Dr Wan Azizah menguasainya selama tiga penggal sewaktu Anwar dipenjarakan pada pilihanraya umum 1999 dan 2004 dan dilarang bertanding dalam pilihanraya umum Mac lalu.

Mac lepas, beliau memperoleh 30,338 undi bagi menewaskan Pirdaus Ismail dengan majoriti 13,388.

Menurut agensi berita itu, Pirdaus berkata tindakan Dr Wan Azizah itu secara tergesa-gesa memperlihatkan tindakan itu seperti mengkhianati kepercayaan rakyat.

"Perkara itu menyusahkan rakyat. Pada pilihan raya lalu, saya dah beritahu rakyat jangan memberi undi. Ini dah buktikan dia (Dr Wan Azizah) bukan bertanding untuk rakyat tetapi untuk diri sendiri.

"Ini juga membuktikan peluang Anwar untuk menang tidak mudah kerana telah mengkhianati kepercayaan rakyat. Namun itu juga sukar bagi kita kerana ia boleh dikatakan kubu kuat mereka," katanya.

Ditanya kemungkinan beliau dicalonkan sekali lagi pada pilihanraya kecil nanti, Pirdaus berkata perkara itu terserah kepada pucuk pimpinan parti.

"Sekiranya diarah berbuat demikian, saya patuh. Sebagai pejuang, saya merasakan itu adalah tanggungjawab.

"Lagipun saya bersedia dan tidak gentar untuk berhadapan dengan dia (Anwar) kerana ini bukan kali pertama saya bertanding," katanya.