BERITA

Hasutan: Penulis blog ditahan polis

Muda Mohd Noor

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Ogs 2008, 7:03 pagi

kemaskini 4:23pm Penulis blog Abu Bakar A Rashid ditahan dan disiasat bawah Akta Hasutan, dipercayai berhubung bahan-bahan tulisan di lamannya 'Penarik Beca' (www.penarikbeca.blogspot.com).

Malaysiakini petang ini difahamkan, beliau akan ditahan sehari lagi.

penarik beca sang kutu website blogspot 070808 Abu Bakar, seorang wartawan sambilan, ditahan di rumahnya di Gombak menjelang tengah malam tadi oleh sekumpulan anggota polis, kata peguamnya Mohamed Hanipa Maidin.

Penulis itu, yang juga dikenali Bakar Haq, kemudian dibawa dan disiasat di ibu pejabat polis bahagian jenayah perdagangan, Kuala Lumpur hingga saat ini.

"Saya cuba menemui Abu Bakar tetapi tidak berjaya kerana pegawai penyiasat tidak membenarkan atas alasan masih dalam siasatan,” kata Mohamed Hanipa kepada Malaysiakini .

"Berikutan itu saya tidak tahu apakah tunduhan yang akan dikenakan ke atas Abu Bakar.

"Saya tidak tahu artikel mana yang didakwa mempunyai unsur hasutan itu dan siapa yang membuat laporan polis terhadap Abu Bakar."

Polis sebelum ini pernah menahan beberapa penulis blog termasuk pengendali Malaysia Today Raja Petra Kamarudin bagi siasatan bawah akta yang sama.

Mohamed Hanipa yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS berkata lagi, penahanan Abu Bakar mungkin bermotifkan politik dan untuk menakut-nakutkan penulis blog.

"Tidak manis polis melakukan tangkapan waktu malam dan di rumah beliau pula.

"Sepatutnya polis memberi notis terlebih dahulu kepada Abu Bakar sebelum menahannya," katanya lagi.

Mohamed Hanipa berkata, penahanan tersebut bertentangan dengan janji perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mewujudkan kebebasan bersuara di kalangan rakyat.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.