Setiausaha Umno bahagian Pengerang, Nizam Ali percaya, beliau telah dipecat kerana cawangannya mencalonkan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said bertanding jawatan ketua bahagian.
Katanya, beliau telah menerima surat tersebut Rabu lalu dan pemecatannya berkuat kuasa pada 1 Ogos.
Dalam mesyuarat baru-baru ini, Umno cawangan Felda Sungai Mas yang diketuai Nizam telah mencalonkan Azalina untuk jawatan ketua bahagian.
Azalina kini merupakan naib ketua bahagian manakala penyandang jawatan ketua bahagian ialah Datuk Harun Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Selat.
Nizam berkata, tindakan Harun itu dipercayai akibat tekanan yang dihadapinya ekoran kekurangan pencalonan yang diterimanya untuk mempertahankan jawatannya.
Bahagian Pengerang mempunyai 32 cawangan. Harun hanya mendapat empat pencalonan, manakala Azalina pula mendapat 27 pencalonan dan menang tanpa bertanding.
Harun gagal mendapat minima 20 peratus atau tujuh pencalonan untuk membolehkannya mempertahankan jawatan tersebut.
Jadi penyokong kuat
Harun menjadi ketua bahagian Pengerang sejak 2004 selepas persempadanan semula kawasan pilihanraya Parlimen Kota Tinggi. Sebelum itu beliau merupakan timbalan ketua bahagian Kota Tinggi.
Beliau juga sudah dua penggal menjadi Adun Tanjung Selat. Sebelum ini, Harun merupakan Adun Pengerang pada 1999.
Walaupun disingkirkan, Nizam berkata, beliau tidak berdendam terhadap Harun walaupun beliau menjadi penyokong kuatnya sejak 22 tahun lalu.
"Bagi saya ini perkara biasa...tiada apa-apa," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .
Mengenai dakwaan Harun bahawa berlaku politik wang di Pengerang, Nizam berkata: "Setahu saya tidak ada berlaku politik wang di sini."
Nizam berkata, dakwaan berlaku politik wang adalah mengelirukan kerana mesyuarat cawangan berjalan dalam suasana tenang.
"Biasanya, orang kalah akan membuat pelbagai andaian," katanya lagi.
Sehingga ini, kata beliau, belum ada ahli Umno yang dipanggil oleh lembaga disiplin Umno.
