Cawangan sepakat pilih Azalina
Ketua-ketua cawangan Umno bahagian Pengerang memilih Datuk Seri Azalina Othman Said kerana beliau lebih berwibawa untuk menerajui bahagian berkenaan.
Ketua cawangan Bandar Mas Abdul Kadir Mohd Yunus berkata, ketua-ketua cawangan Umno telah berpakat memilih Azalina sebagai ketua bahagian yang baru.
"Ini kehendak akar umbi Umno yang mahukan perubahan kerana yakin dengan agenda pembangunan Azalina untuk penduduk Pengerang.
"Paling ketara yang mahukan Azalina menjadi ketua bahagian yang baru ialah golongan wanita," katanya.
Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas kegagalan penyandangnya, Datuk Harun Abdullah.
Harun mendapat tujuh pencalonan minimum untuk mempertahankan jawatannya.
Harun yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Selat hanya mendapat empat pencalonan, manakala Azalina 27 pencalonan.
Berikutan itu, Azalina yang kini naib ketua bahagian, menang tanpa bertanding jawatan ketua bahagian.
Sementara itu, ahli jawatankuasa bahagian, Abdul Kader Basok pula berkata, punca utama ketua cawangan memilih Azalina ialah kerana merasakan beliau lebih sesuai mengetuai bahagian tersebut.
Beliau yang juga ketua Umno cawangan Felda Air Tawar 4 berkata, kedudukan Azalina sebagai menteri, memudahkan beliau membantu rakyat Pengerang terutama yang menjadi peneroka Felda.
"Sebagai menteri pelancongan, Azalina lebih berkemampuan untuk membantu penduduk berbanding Harun yang hanya seorang Adun.
"Kami sepakat mahukan muka baru menerajui bahagian ini. Dan orang yang paling layak menjadi ketua bahagian Pengerang ialah Azalina.
"Selama ini kepimpinan antara bahagian dengan Parlimen tidak sehaluan menyebabkan banyak program di Pengerang tidak berjaya," katanya.

